Catcha Digital selesaikan pengambilalihan RM6.13 juta Maxoom, berbaki dua transaksi RM72.32 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Catcha Digital selesaikan pengambilalihan RM6.13 juta Maxoom, berbaki dua transaksi RM72.32 juta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 5 Dis – Catcha Digital Bhd menamatkan pengambilalihan kepentingan RM6.13 juta dalam Maxoom Sdn Bhd selepas perjanjian jual beli saham menjadi tidak bersyarat pada Khamis, menjadikannya pengambilalihan kelima daripada tujuh yang dirancang.

 

Sebelum ini, Catcha Digital membatalkan cadangan pengambilalihan 51% kepentingan dalam DS Service Sdn Bhd pada 1 Disember lalu, menjadikan hanya dua lagi transaksi berbaki untuk disempurnakan.

 

Susulan penyelesaian transaksi tersebut, Maxoom kini menjadi anak syarikat milik tidak langsung 100% Catcha Digital melalui iMedia Asia Sdn Bhd.

 

Pengambilalihan Maxoom yang mengendalikan platform teknologi pengguna TechNave itu dilaksanakan secara tunai berjumlah RM6.13 juta daripada empat vendor iaitu Boon Yau Hun, Hee Kai Hoong, Rev Media Group Sdn Bhd dan Chong Woon Chek. 

 

Rev Media merupakan anak syarikat media digital kepada Media Prima Bhd.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, Maxoom merekodkan hasil RM2.72 juta dengan keuntungan selepas cukai RM30,423.

 

Sebelum ini, Catcha Digital memaklumkan pengambilalihan tersebut dijangka memperluas keterlibatan kumpulan dalam segmen media digital berasaskan teknologi pengguna selain membuka ruang sinergi bagi meningkatkan hasil jualan serta margin keuntungan antara kedua-dua entiti.

 

Setakat ini, hanya dua pengambilalihan utama masih dalam proses penyelesaian, iaitu pembelian 92.5% kepentingan dalam Theta Service Partner bernilai RM35 juta serta 60% kepentingan dalam Framemotion Studio melibatkan RM37.32 juta. - DagangNews.com