KUALA LUMPUR 19 Feb — Langkah kerajaan memperluaskan liputan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan pekerja warga asing bertujuan bagi menggalakkan majikan agar mengambil ramai rakyat tempatan.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika menjawab soalan lisan pada persidangan Dewan Rakyat mengenai cadangan bagi mewajibkan caruman dana itu sebanyak dua peratus.
"Tanpa caruman mandatori ini, kos penggajian pekerja asing lebih rendah berbanding yang tempatan, namun perluasan liputan wajib itu secara tidak langsung bakal menggalakkan penggajian lebih ramai lagi warga tempatan," katanya.
Langkah caruman itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 dengan sesi libat urus membabitkan pelbagai pihak yang berkepentingan dilaksanakan untuk menilai input.
Menjelaskan lanjut, Amir Hamzah menambah, caruman mandatori itu ditetapkan pada kadar dua peratus daripada majikan manakala syer pekerja pula adalah dua peratus dengan turut mengambil kira kesesuaian situasi semasa.
Justeru beliau memaklumkan usaha itu bakal mewujudkan layanan yang sama rata dengan pekerja tempatan dan bertujuan menyumbang kepada pengurangan kebergantungan tenaga kerja bukan warganegara oleh pihak majikan.
"Situasi ini juga mendorong peralihan operasi syarikat ke arah automasi tanpa ada banyak penggunaan buruh serta meningkatkan lagi tahap daya saing sektor perniagaan tempatan selaras dengan tahap standard global," jelasnya.
Pada masa sama, tambah Amir Hamzah, inisiatif caruman wajib itu turut menyediakan perlindungan sosial kepada pekerja asing sejajar piawaian ditetapkan Artikel 68 Konvensyen 102 di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa.
Setakat akhir Disember 2024, pasaran tenaga kerja Malaysia merekodkan seramai 2,368,422 warga asing berdaftar dalam sektor ekonomi negara yang mewakili 14 peratus daripada jumlah pekerja dan masih terkawal. - DagangNews.com








