CapitaLand lantik Tan Boon Peng sebagai Pengerusi susulan peletakan jawatan Ng Tiong Lip | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CapitaLand lantik Tan Boon Peng sebagai Pengerusi susulan peletakan jawatan Ng Tiong Lip

Ng Tiong Lip (kiri) dan Tan Boon Peng (kanan)
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 31 DisCapitaLand Malaysia Trust melantik Pengarah Bebas Bukan Eksekutifnya, Tan Boon Peng sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah yang baharu berkuat kuasa 1 Januari 2026.


Pelantikan tersebut susulan peletakan jawatan Datuk Ng Tiong Lip sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas dan Pengerusi Lembaga yang berkenaan atas alasan perlu memenuhi komitmen yang lain.


Tiong Lip, 68, graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Monash University di Australia, dilantik menyandang jawatan berkenaan pada 1 Januari 2024 setelah menjadi pengarah sejak 1 Oktober 2023.


Beliau yang juga anggota felo Akauntan Bertauliah Australia dan New Zealand, merupakan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), serta aktif dalam pelbagai organisasi.


Sementara itu, Boon Peng, 58, lepasan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Sastera dari University of Cambridge, Britain, mula dilantik sebagai pengarah lembaga tersebut sejak 1 April 2019.


"Segala makluman terperinci berkaitan perubahan ini sudah dikemukakan selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia," maklum CapitaLand kepada Bursa Malaysia hari ini.


Selain itu, CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd (CMRM) turut mengumumkan Andrew Lim Cho Pin Geoffrey meletakkan jawatan Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas berkuat kuasa tarikh sama.


Ia selaras dengan tanggungjawab lain beliau dalam Kumpulan CapitaLand sendiri dan susulan itu, Boon Peng turut melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran (NRC).


Langkah tersebut sejajar dengan keperluan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia, manakala Tan Ming-Li dilantik sebagai Pengerusi NRC yang baharu, dan Goh Gek Hiang pula menggantikan Andrew Lim.


Lembaga pengarah dan pengurusan turut merakamkan penghargaan kepada Tiong Lip dan Andrew Lim atas kepimpinan serta sumbangan mereka kepada syarikat sepanjang tempoh perkhidmatan masing-masing.


Dalam pada itu, CMRM memaklumkan semua perubahan komposisi lembaga pengarah dan jawatankuasa berkaitan akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026. - DagangNews.com