KUALA LUMPUR 22 April – CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) memulakan tahun kewangan 2026 dengan prestasi kukuh apabila merekodkan peningkatan pendapatan boleh agih sebanyak 22.7% kepada RM45.7 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Seiring itu, pengagihan seunit (DPU) turut meningkat 6.3% tahun ke tahun kepada 1.36 sen, didorong prestasi operasi yang lebih mantap serta sumbangan daripada aset baharu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, pendapatan bersih hartanah (NPI) meningkat 14.7% kepada RM80.4 juta, disokong terutamanya oleh pemerolehan tujuh hartanah industri dan logistik yang dimuktamadkan pada 2025, selain prestasi lebih baik segmen runcit khususnya East Coast Mall.
Ketua Pegawai Eksekutif CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn. Bhd., Yong Su-Lin berkata, pencapaian tersebut mencerminkan kekuatan portfolio CLMT yang semakin berkembang.
“Prestasi suku pertama ini disokong oleh asas aset yang lebih kukuh hasil pemerolehan strategik serta pertumbuhan hasil yang stabil dalam kebanyakan aset runcit kami.
“Kami terus melabur untuk meningkatkan pengalaman pelanggan melalui inisiatif peningkatan aset serta strategi pajakan dan kurasi penyewa bagi memastikan pusat beli-belah kekal relevan dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, meskipun persekitaran global kekal mencabar, CLMT akan terus mengamalkan pendekatan berhemat dalam strategi peremajaan portfolio serta kekal proaktif dalam merebut peluang pertumbuhan baharu.
Dari segi operasi, kadar penghunian runcit CLMT kekal stabil pada 93.5% setakat 31 Mac 2026, manakala kadar penghunian keseluruhan termasuk aset industri dan logistik berada pada 94.7%.
Portfolio runcit mencatat pembalikan sewa positif sebanyak 12.4% bagi suku dikaji, di samping peningkatan trafik pembeli sebanyak 7.1% dan pertumbuhan jualan penyewa per kaki persegi sebanyak 0.4%.
Dalam usaha memperkukuh daya tarikan aset, CLMT sedang melaksanakan inisiatif peningkatan aset (AEI) di The Mines, melibatkan naik taraf ruang di sepanjang terusan serta pembangunan kawasan pasar baharu di Aras 1 yang dijangka siap menjelang akhir 2026.
Selain itu, kumpulan turut memperkemas campuran penyewa dengan memperkenalkan jenama baharu bagi pasar raya utama di Sungei Wang Plaza, East Coast Mall dan The Mines, sejajar dengan perubahan citarasa pengguna.
Dari sudut kewangan, CLMT mengekalkan pengurusan modal yang berdisiplin dengan purata tempoh matang hutang 4.4 tahun, kos hutang sebanyak 4.24% serta nisbah penggearan pada 39.3%.
Sebanyak 72% daripada jumlah pinjaman pula adalah pada kadar faedah tetap, sekali gus membantu mengurangkan pendedahan kepada turun naik kadar faedah. - DagangNews.com








