KUALA LUMPUR 3 April - Capital A Berhad diberikan lanjutan tempoh sehingga 15 April 2025, untuk mengedarkan pekeliling kepada pemegang saham berhubung isu cadangan Pelan Regularisasi Nota Amalan 17 (PN17).
Pelan berkenaan termasuk penurunan modal saham sehingga RM6 bilion dalam usaha syarikat itu untuk mengurangkan kerugian terkumpul dan penyusunan semula pelbagai unit perniagaannya.
Pada 7 Mac 2025, Capital A menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk pelan penyelarasan tersebut sebagai langkah keluar syarikat berkenaan daripada status PN17.
Menurut peraturan penyenaraian Pasaran Utama, Capital A mesti mengeluarkan pekeliling kepada pemegang sahamnya dalam 14 hari pasaran selepas menerima pengesahan bursa yang ia tidak mempunyai sebarang ulasan lanjut.
Susulan perkembangan tersebut, saham Capital A turun satu sen, atau merosot 1.2 peratus, kepada 81 sen pada penutup dagangan petang Rabu, dengan nilai modal kumpulan itu sebanyak RM3.51 bilion.
Saham syarikat berkenaan setakat ini sudah turun 19 peratus pada tahun ini. - DagangNews.com








