KUALA LUMPUR 5 Mei – Capital A Bhd mencatat prestasi operasi yang stabil bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (Q1 FY26) melibatkan keseluruhan segmen perniagaan kumpulan termasuk kejuruteraan, logistik, platform digital perjalanan, pengurusan jenama serta makanan dan minuman.
Syarikat itu berkata, selepas selesai pelaksanaan pelan regularisasi di bawah Nota Amalan 17 (PN17), Capital A kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pertumbuhan strategik bagi memperkukuh ekosistem perniagaan berasaskan penerbangan dan digital.
Bagi tempoh berkenaan, prestasi operasi dipacu oleh permintaan bermusim susulan sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, namun sedikit terjejas disebabkan oleh ketegangan geopolitik di Timur Tengah serta tempoh Ramadan yang secara tradisinya menyebabkan aktiviti perjalanan menjadi perlahan.
Walaupun berdepan cabaran tersebut, kumpulan tetap mencatat pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) yang positif merangkumi kebanyakan metrik operasi utama, mencerminkan daya tahan model perniagaan pelbagai segmen yang dimilikinya.
Dalam segmen kejuruteraan melalui Asia Digital Engineering (ADE), perniagaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) mengekalkan prestasi stabil dengan purata lapan pesawat diselenggara setiap bulan serta menyelesaikan 25 pemeriksaan pesawat, meningkat 13 peratus secara suku ke suku (QoQ).
Bagaimanapun, jumlah keseluruhan pemeriksaan susut empat peratus tahun ke tahun berikutan tempoh penyelesaian kerja C-check yang lebih panjang, walaupun operasi rangkaian penyelenggaraan barisan hadapan terus diperkukuh di lebih 20 lapangan terbang.
ADE turut mencatat perkembangan dalam segmen bengkel apabila merekodkan 7,331 tempahan kerja, meningkat 12 peratus tahun ke tahun, disokong permintaan kukuh bagi perkhidmatan baik pulih tayar dan roda pesawat A320.
Dalam masa sama, segmen logistik Teleport mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila jumlah kargo meningkat kepada 96,783 tan, naik 25 peratus tahun ke tahun, manakala penghantaran bungkusan melonjak 122 peratus kepada 61.7 juta unit.
Pertumbuhan Teleport disokong oleh model rangkaian hibrid yang menggabungkan kapasiti perut pesawat AirAsia, lebih 55 rakan syarikat penerbangan serta pesawat kargo khusus yang memperkukuh keupayaan pengedaran serantau.
Sumbangan rakan syarikat penerbangan turut meningkat apabila volum naik 110 peratus tahun ke tahun kepada 13,552 tan, manakala kapasiti AirAsia sendiri meningkat 21 peratus kepada 72,547 tan, khususnya didorong laluan perdagangan Malaysia–China.
Dalam segmen digital, AirAsia MOVE mencatat pertumbuhan kukuh dengan pengguna aktif bulanan meningkat kepada 17.1 juta, naik 20 peratus secara suku ke suku dan 23 peratus tahun ke tahun, disokong peningkatan interaksi pengguna dalam ciri sembang dan komuniti.

Syarikat turut merekodkan jualan tempat duduk penerbangan meningkat empat peratus tahun ke tahun, manakala hasil sampingan naik 15 peratus dipacu permintaan produk digital seperti EasyCancel yang mencatat peningkatan kadar penyertaan sebanyak 33 peratus.
Selain itu, pakej perjalanan SNAP turut menyokong peningkatan tempahan hotel sekali gus mengimbangi kelemahan tempahan percutian secara berasingan dalam segmen tertentu.
Platform perniagaan ke perniagaan (B2B), Wano, terus menunjukkan prestasi kukuh dengan jualan sembilan juta tempat duduk pada Q1 FY26, meningkat 16 peratus tahun ke tahun hasil pengambilan ejen baharu serta pengembangan integrasi API, dengan permintaan tinggi dari China, India, Jepun dan Korea.
AirAsia Next pula terus mengukuhkan peranan dalam pengurusan jenama dan harta intelek kumpulan termasuk AirAsia, AirAsia MOVE dan Santan, selain sedang meneroka peluasan kerjasama baharu termasuk potensi dalam sektor hospitaliti melalui perjanjian pelesenan hotel berskala besar.
Bagi segmen makanan dan minuman Santan, sebanyak 4.5 juta transaksi dalam penerbangan direkodkan, meningkat enam peratus tahun ke tahun, disokong kenaikan 18 peratus dalam tempahan makanan awal walaupun berdepan pengurangan kapasiti penerbangan sebanyak sembilan peratus serta gangguan operasi.
Syarikat memaklumkan kadar pengambilan (take-up rate) kekal stabil pada 29 peratus, disokong peningkatan tempahan awal makanan, walaupun terdapat kekangan peluang jualan dalam penerbangan akibat gangguan operasi.
Capital A menegaskan kumpulan terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang stabil dengan sokongan kepelbagaian perniagaan, pengembangan rangkaian serantau serta pemulihan permintaan perjalanan di rantau Asia Pasifik. - DagangNews.com








