KUALA LUMPUR 4 Sept – Cape EMS Berhad mengorak langkah besar dalam sektor tenaga bersih serantau apabila bekerjasama dengan pengeluar penyimpanan tenaga global, Shanghai Sermatec Energy Technology Co Ltd dari China.
Penyedia rumusan pembuatan elektronik itu berkata, perjanjian strategik tersebut menandakan komitmen bersama menjadikan rumusan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) di Malaysia yang lebih ke arah bersifat tempatan.
Tambahnya, langkah dua syarikat berkenaan memeterai perjanjian tersebut buat julung kali dijangka membentuk strategi jangka panjang dalam bekalan dan penyelenggaraan sistem tersebut di seluruh Asia Tenggara sendiri.
"Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, Sermatec akan memindahkan sepenuhnya pemasangan sistem BESS ke fasiliti pembuatan Cape EMS di Senai, Johor," kata kumpulan itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Produk itu dipasang secara tempatan dan ditawarkan bersama perlindungan insurans penuh serta kontrak operasi dan penyelenggaraan jangka panjang yang memberi perlindungan kitar hayat kepada pelanggan institusi dan komersial.
Selain pemasangan, Cape EMS melalui anak syarikatnya, CAPE Renewables Sdn Bhd, turut akan mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab dalam isu pemantauan serta pengurusan sistem bateri (BMS) dan tenaga (EMS).
Langkah ini katanya, menyediakan keupayaan menyeluruh yang memastikan operasi dengan lancar, sokongan teknikal secara pantas, serta kecekapan sistem bersifat lebih tinggi untuk projek berkenaan di rantau ASEAN.
Kerjasama ini tambahnya, membuka peluang kepada penyediaan rumusan menyeluruh, dari pembuatan, ujian, sehingga kepada pengurusan dan penyelenggaraan sistem tenaga disesuaikan untuk pasaran Asia Tenggara.
“Kami amat bangga mengumumkan kerjasama dengan Sermatec, yang menandakan satu bab baharu dalam industri penyimpanan tenaga melalui kerjasama yang bukan sahaja membawa teknologi BESS bertaraf global ke tanah air.
"Malah usaha terbaharu ini mampu membina keupayaan serantau untuk menyokong, menyelenggara dan mengembangkan infrastruktur tenaga bersih di ASEAN,” kata syarikat itu.
Sementara itu, Sermatec menyifatkan Malaysia sebagai pangkalan strategik untuk perluasan pasaran di rantau ini, dan memilih Cape EMS sebagai rakan kongsi kerana rekod prestasi kejuruteraan serta rumusan tenaga boleh diperbaharui.
“Dengan pengeluaran tempatan dan pengurusan kitar hayat produk BESS kami, Sermatec dapat menawarkan pilihan penyimpanan tenaga yang lebih responsif, dipercayai dan berpatutan kepada pelanggan di ASEAN,” katanya.
Perjanjian ini juga seiring dengan peningkatan permintaan terhadap infrastruktur tenaga bersih, termasuk untuk sistem Solar Berskala Besar (LSS) dan pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh Asia Tenggara.
Dengan kerjasama ini, Cape EMS dan Sermatec bersedia untuk membentuk landskap masa depan industri storan tenaga serantau menerusi gabungan keupayaan pembuatan bertaraf dunia, kepakaran tempatan serta perkhidmatan penyelenggaraan jangka panjang.
Sebagai rakan strategik utama Sermatec di rantau ini, Cape EMS kini berada pada kedudukan terbaik untuk menerajui fasa pertumbuhan baharu berteraskan inovasi, kelestarian dan penyampaian rumusan tenaga menyeluruh bagi menyokong masa depan rendah karbon di ASEAN. - DagangNews.com








