Camaroe catat lebihan langganan 15 kali pada IPO menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Camaroe catat lebihan langganan 15 kali pada IPO menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Sept – Tawaran awam permulaan (IPO) Camaroe Berhad menjelang penyenaraian rasmi di Pasaran ACE, mencatat sambutan positif pelabur dengan kadar terlebih langganan sebanyak 15 kali.


Menurut kenyataan daripada firma penaja terbitan, M&A Securities, sebanyak 402.4 juta unit saham dimohon, dengan nilai langganan melebihi RM56 juta, berbanding 26.8 juta unit saham diperuntukkan.


Tambahnya, bahagian saham yang diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera didapati terlebih langgan hampir tujuh kali, manakala bahagian bukan Bumiputera pula terlebih langgan sehingga 23 kali.


"Ini menunjukkan permintaan tinggi terhadap saham syarikat berasaskan akuakultur itu, dengan bahagian dikhaskan kepada individu berkelayakan juga dilaporkan habis dilanggan," kata firma itu.


Bagaimanapun jelas M&A Securities, penempatan persendirian saham baharu Camaroe kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan meraih kurang sambutan dan diagihkan semula kepada pelabur lain. 


Bagi penawaran saham sedia ada secara persendirian, semua saham berjaya dijual. IPO syarikat ini dijangka menjana kutipan kasar lebih RM20 juta menjelang penyenaraiannya pada 2 Oktober 2025.


Kata firma berkenaan, daripada jumlah dana terbitan yang diperoleh itu, sebanyak RM13.86 juta akan disalurkan terus kepada syarikat tersebut untuk tujuan pertumbuhan dan pengembangan operasi.


"Selebihnya akan diperoleh oleh Pengarah Urusan Camaroe, Teoh Han Boon dan Pengarah Eksekutifnya, Low Saw Cheng melalui langkah penjualan saham sedia ada mereka sendiri," tambah kenyataan M&A.


Kumpulan berkenaan katanya, menetapkan harga IPO pada 14 sen sesaham, yang akan memberikan nilai pasaran sekitar RM69 juta ketika disenaraikan kelak di Bursa Malaysia pada awal bulan depan.


Camaroe yang ditubuhkan pada 2009, ketika ini mengendalikan sebanyak 138 kolam ternakan udang di sejumlah lima ladang pesisir pantai serta sebuah kemudahan pemprosesan di Kapar, Selangor.


Syarikat ini khusus dalam pemprosesan udang harimau hitam, sama ada dalam bentuk segar atau sejuk beku, dengan pasaran utama di China, Korea Selatan dan Taiwan, selain kepada pemborong tempatan.


"Bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2025, syarikat tersebut mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM7.75 juta dengan merekodkan pendapatan kasar berjumlah RM39.82 juta," katanya.


M&A Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com