KUALA LUMPUR 20 Feb — Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS), yang merupakan pembuat simen tunggal di Sarawak, berada pada kedudukan yang baik untuk menerima manfaat daripada aliran kerja pembinaan yang lebih kukuh di negeri tersebut.
Menurut firma penyelidikan Maybank Investment Bank, syarikat itu memiliki kapasiti yang cukup untuk memenuhi permintaan sektor ini malahan pengurusannya menjangkakan prospek bisnes lebih baik bagi tahun kewangan 2025 (FY25).
Tinjauan yang cukup positif itu ujarnya, dijangka merentas semua bahagian dalam CMS dan ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat berkenaan dengan harga sasaran (TP) diramalkan mampu mencecah RM1.55 sesaham.
TP adalah berdasarkan nisbah 10 kali ganda harga kepada pendapatan (PE) pada FY25 yang tidak berubah, katanya sambil menambah penilaian CMS tidak menuntut kerana harga sahamnya telah mengalami pembetulan baru-baru ini.
"Kami telah menghubungkan potensi pertumbuhan bekalan simen dan bahan binaan sebanyak lima peratus, serta menyokong unjuran pertumbuhan keuntungan bersih sebanyak 18 peratus untuk diraih CMS pada FY25," kata Maybank IB.
Mengulas mengenai prestasi kewangan syarikat tersebut, firma penyelidikan itu berkata bahawa bahagian simen CMS telah didapati menunjukkan sedikit daya tahan sepanjang tempoh separuh pertama pada tahun 2024 (1HFY24).
"Walaupun terjejas oleh musim hujan yang berpanjangan terutama pada separuh pertama itu, operasi simen CMS telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi pada FY24 disebabkan kos lebih rendah," katanya.
Ia menyatakan bahawa keuntungan bersih teras FY24 yang direkodkan oleh kumpulan tersebut sebanyak RM142 juta adalah selaras dengan jangkaan CMS sendiri dan ramalan konsensus.
Sementara itu, firma MIDF Research berkata, pertumbuhan keuntungan bersih teras FY24 dicatatkan CMS sebanyak kira-kira 34.3 peratus adalah dalam jangkaannya dan boleh dikaitkan dengan margin keuntungan kasar lebih baik.
Ia disumbangkan daripada bahagian simen CMS, manakala jualan yang lebih tinggi diperoleh pula oleh bahagian pembangunan hartanah dan penyelenggaraan jalan serta kos operasi yang lebih rendah daripada bahagian fosfatnya.
MIDF Research menganggarkan pendapatan CMS tidak berubah dan mengekalkan saranan 'beli' dengan TP yang disemak lebih tinggi sebanyak RM1.57 sesaham berdasarkan nisbah PE ramalan FY26 sebanyak 10 kali. - DagangNews.com








