Cadangan projek kereta api Trans-Borneo beri impak positif ke atas sektor pembinaan, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cadangan projek kereta api Trans-Borneo beri impak positif ke atas sektor pembinaan, kata RHB Research

Gambar ilustarasi Trans-Borneo Rail. - Foto kredit Brunergy Utama Sdn Bhd
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 DisRHB Research mengekalkan penarafan 'overweight' ke atas sektor pembinaan, disokong oleh potensi cadangan Projek Kereta Api Trans-Borneo (TBR) di Sabah dan Sarawak ketika ini.


Firma penyelidikan itu berkata, kajian kebolehlaksanaan sistem pengangkutan rel tersebut sudah bermula pada Jun 2025 dan dijangka siap menjelang Jun 2026, sebelum projek boleh diluluskan oleh pihak kerajaan.


Jelasnya, jika TBR diluluskan pula, ia dianggarkan menelan perbelanjaan RM63.3 bilion, serta dilihat berpotensi besar memberi limpahan kesan ekonomi secara ketara kepada Sabah dan Sarawak sendiri.


"Ini termasuk pengurangan kos logistik, peningkatan integrasi rentas sempadan serta pertumbuhan sektor pelancongan, pertanian dan industri berasaskan sumber," kata RHB Research dalam notanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Menurut firma berkenaan, jajaran awal TBR sudah dicadangkan di bawah kajian berkenaan, namun akan diperincikan selanjutnya, bagi memastikan kesalinghubungan yang lancar antara pengangkutan awam.


Jelasnya, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil turut menyatakan negeri itu sedang meneliti kemungkinan mengintegrasikan TBR dengan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).


Antaranya tambah RHB Research, termasuk perluasan fasa seterusnya bagi Laluan Merah Sistem Transit Pantas Autonomi (ART) antara perkhidmatan rel jarak jauh dan pengangkutan awam tempatan yang lain.


"Kami mengingatkan yang cadangan TBR bukanlah baharu, selepas sebuah syarikat berpangkalan di Brunei sebelum ini mengemukakan cadangan projek rel bernilai RM285.57 bilion pada 2024," katanya.


Bagaimanapun jelasnya, Kementerian Pengangkutan ketika itu menegaskan ia masih peringkat cadangan. tetapi perancangan TBR semakin relevan memandangkan Indonesia sudah memulakan pembangunan rel.


RHB Research menambah, ia sudah dilaksanakan sejak 2019 dan merancang perluasan sehingga 2,428 kilometer dalam beberapa fasa, sejajar dengan pembangunan ibu negara baharu iaitu Nusantara.


Dari sudut pelaburan pula, ia berpandangan bahawa sekiranya pembiayaan projek kereta api disokong oleh sektor swasta sendiri, pelaksanaan TBR berpotensi untuk dipercepatkan dan siap lebih awal. 

 

 

 

 

 

 


"Senario ini dilihat sebagai pemangkin kepada kontraktor di Sarawak seperti KKB Engineering, dan Ibraco, serta kontraktor Malaysia yang berpengalaman dalam projek rel seperti IJM Corp," katanya.


Pilihan utama RHB Research bagi sektor pembinaan ialah Gamuda, Sunway Construction dan Kerjaya Prospek, namun menegaskan risiko utama adalah kelewatan penganugerahan kontrak. - DagangNews.com