Cadang aplikasi pertanian Sekinchan diperluaskan ke beberapa negeri - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cadang aplikasi pertanian Sekinchan diperluaskan ke beberapa negeri - PM Anwar

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Feb - Kerajaan berhasrat menerapkan kaedah pertanian yang dilaksanakan di jelapang sawah Sekinchan, Selangor kepada beberapa negeri antaranya Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan moden di kawasan tersebut telah terbukti berjaya dalam meningkatkan lagi tahap produktiviti pengeluaran hasil padi berbanding di tempat yang lain.

 

“Isunya ialah produktiviti, kerana perbezaannya terlalu besar antara apa yang dilaksanakan (pesawah) di Selangor dengan (misalnya) Kedah dan kita kena (belajar) tingkatkan usaha (pengeluaran beras).

 

“Jadi apa dilakukan ialah bentang beberapa pelaksanaan yang ada dibuat di Sekinchan untuk permohonan termasuk benih padi, baja serta pengurusan yang mungkin guna pakai kecerdasan buatan (AI) dan dron.

 

“(Kaedah) seperti apa Sime Darby pernah buat untuk industri minyak sawit,” katanya ketika Sesi Waktu Soalan Perdana Menteri di Dewan Rakyat menjawab soalan tambahan Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani).

 

Ahli Parlimen tersebut ingin tahu bagaimanakah penggunaan teknologi dan inisiatif AI seperti SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) serta benih baka daripada hasil terbaik boleh meningkatkan produktiviti padi.

 

Melalui kaedah itu, cara penanaman padi lebih sistematik termasuk penggunaan Internet of Things (IoT) dan gentanam yang mampu melonjakkan hasil daripada 3.75 tan metrik sehektar kepada tujuh tan metrik sehektar.

 

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah meluluskan RM1 bilion kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah, bagi program meningkatkan produktiviti pengeluaran padi.

 

Ia bakal dilancarkan akhir bulan ini dan beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Kedah yang memberikan kerjasama dalam soal pengurusan tanah negeri itu dalam usaha meningkatkan produktiviti.

 

Berhubung isu penipuan beras di Kedah yang dilaporkan baru-baru ini, Perdana Menteri menyerahkan kepada agensi penguatkuasaan untuk menyiasat lanjut kes itu dan tindakan akan diambil jika terbukti benar.

 

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membongkar kewujudan kartel yang menukar bungkusan beras tempatan kepada import dan menyebabkan bekalan beras tempatan kurang di pasaran. - DagangNews.com