KUALA LUMPUR 11 Mei — Ketegangan geopolitik global mula memberi tekanan kepada industri ternakan ayam tempatan apabila kos dedak meningkat akibat caj penghantaran dan harga bahan mentah import.
TA Securities namun berpandangan CAB Cakaran Corporation Berhad masih mampu menyerap tekanan kos itu susulan bekalan bahan mentah makanan ternakan yang mencukupi sehingga tahun kewangan 2026.
Menurutnya, stok berkenaan mewakili sekitar 65% hingga 70% daripada keseluruhan kos pengeluaran kumpulan, sekali gus menjadikannya faktor paling kritikal kepada margin operasi syarikat itu.
"Kumpulan ini mampu menguruskan harga dedak yang naik kepada RM2,500 satu tan berbanding RM1,900 sebelum tercetus konflik di rantau Timur Tengah," tambah firma tersebut dalam nota analisisnya.
Peningkatan itu kata TA Securities, didorong kos penghantaran lebih tinggi, memandangkan sebahagian besar bahan mentah makanan ternakan CAB Cakaran diimport, terutamanya dari India dan Pakistan.
Bagaimanapun, ia tidak menjangka sebarang impak material terhadap hasil syarikat tersebut dalam masa terdekat kerana mereka sudah mendapatkan stok bahan mentah yang mencukupi sepanjang FY26.
Ujar firma penyelidikan berkenaan, tekanan kos dedak tersebut diunjur hanya dijangka menjadi lebih ketara bermula FY27 sekiranya isu ketegangan geopolitik semasa masih lagi terus berpanjangan.
"Dalam pada itu, harga ayam pedaging dijangka meningkat, didorong kenaikan kos diesel dan logistik, sekali gus berpotensi mengimbangi tekanan kos operasi pada separuh kedua FY26," kata TA Securities.

Jelasnya lagi, purata harga jualan (ASP) ayam pedaging diuruskan CAB Cakaran naik kepada RM5.80 sekilogram pada Mei lalu berbanding RM5.70 sekilogram dalam suku pertama tahun kalendar 2026.
Selain itu, ia melihat permintaan daripada pelanggan utama seperti Marrybrown, The Chicken Rice Shop, IKEA dan Nando's semakin bertambah sejajar perluasan cawangan syarikat-syarikat berkenaan.
Kesemua pelanggan utama itu tambah TA Securities, pada ketika ini didapati berjaya menyumbang secara positif kira-kira 20% kepada pendapatan segmen ayam bersepadu kumpulan berkenaan sendiri.
"CAB Cakaran terus komited memperluaskan segmen peruncitan dan makanan segera dengan sasaran jumlah outlet daripada 25 kepada 100 outlet dalam tempoh lima tahun akan datang," kata firma berkenaan.
Segmen peruncitan jelasnya, mula mencatatkan keuntungan pada suku keempat FY25 selepas kerugian sejak FY23, manakala kerugian segmen makanan segera semakin mengecil dalam tempoh 1QFY26.
Justeru TA Securities mengekalkan unjuran hasil hingga FY28, namun menurunkan harga sasaran (TP) kepada 82 sen daripada RM1.03 sebelum ini susulan ketidaktentuan geopolitik dan pelbagai risiko.
Walaupun begitu, ia masih lagi mengekalkan saranan 'beli' terhadap CAB Cakaran kerana penilaian semasa saham syarikat tersebut dianggap sebagai menarik. - DagangNews.com








