Bus Cap sasar kumpul RM24.69 juta menerusi IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bus Cap sasar kumpul RM24.69 juta menerusi IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Bus Cap Bhd melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraian di Pasaran ACE di Bursa Malaysia
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Mei – Bus Cap Bhd menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM24.69 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Syarikat pengeluar bas yang berpangkalan di Ipoh itu menetapkan harga IPO pada 23 sen sesaham yang dijangka memberikan permodalan pasaran sebanyak RM88.18 juta selepas penyenaraian.

 

Berdasarkan keuntungan bersih berjumlah RM9.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, penilaian tersebut meletakkan kumpulan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 8.98x.

 

Permohonan bagi IPO itu kini dibuka dan akan ditutup pada 15 Mei 2026 manakala penyenaraian dijadualkan berlangsung pada 3 Jun 2026.

 

IPO tersebut melibatkan terbitan awam sebanyak 107.35 juta saham baharu serta tawaran jualan sebanyak 19.17 juta saham sedia ada.

 

Daripada jumlah RM24.69 juta yang akan dikumpulkan, sebanyak 36.9% diperuntukkan bagi pembinaan kilang baharu serta penambahan barisan pengeluaran manakala 20.4% lagi akan digunakan untuk pembelian mesin baharu.

 

Selain itu, kira-kira 24.9% daripada hasil IPO akan disalurkan sebagai modal kerja terutamanya bagi pembelian bahan mentah dengan baki selebihnya diperuntukkan bagi menampung kos berkaitan penyenaraian.

 

Hasil daripada tawaran jualan itu dianggarkan berjumlah RM4.41 juta dan akan diterima sepenuhnya oleh pemegang saham sedia ada, NCS Consolidated Holding Sdn Bhd iaitu entiti pelaburan milik pengarah urusan Ng Chai Sing dan keluarganya.

 

Selepas penyenaraian, pegangan NCS dijangka berkurangan kepada 67%, sejajar dengan langkah kumpulan untuk memperluaskan asas pemegang saham bagi menyokong pertumbuhan perniagaan.

 

Mengulas prospek syarikat, Pengarah Eksekutifnya, Bernard Ng Chong Yan berkata, Bus Cap berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan pemulihan permintaan pengangkutan awam serta keperluan penggantian dan naik taraf oleh pengendali bas.

 

Beliau berkata, peningkatan aktiviti perjalanan dan pelancongan turut menyokong pertumbuhan industri, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pengeluar bas tempatan.

 

Bus Cap Bhd bermula pada tahun 1968 sebagai sebuah kerjasama perniagaan sebelum berkembang menjadi pengeluar bas menerusi anak syarikat utamanya, Sin Hock Leong Coach Works Sdn Bhd.

 

Sepanjang tempoh itu, kumpulan telah membina reputasi dalam pasaran tempatan menerusi pengeluaran pelbagai jenis bas termasuk single-deck, semi-high deck, high-deck dan double-deck bagi kegunaan perkhidmatan bas ekspres, bas pelancongan dan bas ulang-alik.

 

Pada 2023, syarikat turut mengembangkan jejaknya ke pasaran Singapura sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan serantau.

 

Bagi pelaksanaan IPO tersebut, TA Securities Holdings Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan. - DagangNews.com