KUALA LUMPUR 29 Okt – Bursa Malaysia yakin momentum penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) akan kukuh sehingga 2026, selepas mencatat dua tahun berturut-turut aktiviti pasaran modal yang baik.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Fad’l Mohamed, berkata minat banyak syarikat tempatan terhadap penyenaraian baharu di pasaran adalah kekal tinggi yang turut merentasi pelbagai sektor industri.
Perkembangan positif tersebut tambah beliau, sejajar dengan keperluan untuk syarikat mendapatkan pembiayaan dana sebagai langkah pengembangan perniagaan mereka melalui penyertaan pasaran modal.
“Alhamdulillah, prospek untuk tahun depan masih kekal kukuh dan kami yakin momentum semasa dapat diteruskan lagi,” katanya ketika ditemui selepas Parallel Forum Financial Street di sini hari ini.
Program diskusi yang julung kali diadakan itu anjuran bersama firma penyelidikan CGS International Securities Malaysia dan Bursa Malaysia dengan turut mendapat kerjasama daripada kerajaan China.
Mengulas lanjut Fad’l menambah, bursa kini berada di landasan untuk mencapai rekod baharu iaitu 60 penyenaraian IPO tahun ini, dan mengatasi pencapaian tertinggi sebelum ini sebanyak 55 pada 2024.
Perkembangan tersebut jelas beliau, mencerminkan tahap keyakinan pelabur dan kecairan pasaran domestik yang semakin mendalam walaupun dalam keadaan ketidaktentuan perdagangan global sendiri.
Antara syarikat yang dijangka dapat disenaraikan pada akhir tahun ini ialah Geohan Corp Berhad, Loob Berhad dan LAC Med, dengan semuanya bakal didagangkan dalam Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Turut hadir pada forum it ialah Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, yang menegaskan platform itu mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan China dalam memperkukuh kerjasama kewangan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited terus memperjuangkan integrasi ekonomi serta mempromosikan rantau ini sebagai destinasi pelaburan utama selari tadbir urus dunia,” katanya. - DagangNews.com








