KUALA LUMPUR 8 Julai - Tindakan mengejut Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenakan tarif sebanyak 25% secara meluas ke atas barangan Malaysia mengejutkan pelabur dan menyebabkan Bursa Malaysia ditutup lebih rendah.
FBM KLCI ditutup dalam zon merah, susut 7.4 mata atau 0.48%, untuk ditutup pada paras 1,530.14, selepas didagangkan antara paras tertinggi harian 1,531.14 dan terendah 1,526.27.
Secara keseluruhannya, kaunter rugi mengatasi kaunter untung dengan 550 saham ditutup rendah manakala 399 saham ditutup lebih tinggi. Jumlah dagangan ialah sebanyak 3.06 bilion saham bernilai RM2.2 bilion.
Kebanyakan peniaga berkata, Bursa Malaysia dijangka terus berada di bawah tekanan susulan berita mengenai tarif 25% oleh AS ke atas eksport Malaysia.
Pelabur diramal kekal berhati-hati dengan tekanan jualan tertumpu kepada sektor berorientasikan eksport berikutan kebimbangan terhadap impak perdagangan dan pendapatan.
Pasaran juga sedang menantikan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) minggu ini, yang boleh mempengaruhi arah aliran dagangan selanjutnya.
Malaysian Pacific Industries menjadi kaunter paling rugi di Bursa Malaysia, merosot 86 sen kepada RM21.42. BLD Plantation susut 26 sen kepada RM10.50, Hong Leong Bank jatuh 26 sen kepada RM19.46 dan Heineken turun 24 sen kepada RM25.20.
Dalam kalangan kaunter untung, Nestle melonjak RM1.66 kepada RM78.76, YTL Power naik 25 sen kepada RM4.16, Westports menambah 14 sen kepada RM5.72, dan Scientex Packaging meningkat 13 sen kepada RM1.44.
Berdasarkan data Bursa Malaysia, pelabur asing telah menjual ekuiti bernilai RM272 juta pada hari Isnin, manakala peruncit tempatan menjual RM1 juta.
Institusi tempatan merupakan pembeli bersih dengan pembelian ekuiti sebanyak RM273 juta.
Di pasaran tukaran mata wang asing, ringgit susut 0.08% berbanding dolar AS kepada 4.2388.
Ringgit turut melemah sebanyak 0.26% berbanding euro kepada 4.9827, susut 0.10% berbanding pound British kepada 5.7745, dan jatuh 0.14% berbanding dolar Singapura kepada 3.3181.
Di rantau ini, indeks saham MSCI Asia tidak termasuk Jepun meningkat sebanyak 0.54%.
Indeks Nikkei 225 Jepun naik 0.26% untuk ditutup pada 39,688.81, manakala Kospi Korea Selatan melonjak 1.81% kepada 3,114.95.
Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 1.09% kepada 24,148.07.
Di China, CSI300 naik 0.84% kepada 3,998.45, manakala Shanghai Composite menambah 0.7% untuk ditutup pada 3,497.48. - DagangNews.com








