Bursa Malaysia sasar 60 IPO diterbitkan sepanjang 2025 - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia sasar 60 IPO diterbitkan sepanjang 2025 - Amir Hamzah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Mac — Kerajaan menyasarkan bilangan tawaran awam permulaan (IPO) daripada syarikat yang ingin disenaraikan di Bursa Malaysia akan bertambah baik sepanjang tahun ini berbanding tahun lepas dan tahun sebelumnya.
 

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, perkembangan positif itu disumbangkan antaranya faktor kestabilan politik di Malaysia dan juga hala tuju negara yang jelas seperti dengan adanya kerangka kerja Ekonomi MADANI.
 

"Dengan terbinanya momentum yang dicapai dalam tahun 2024, Bursa Malaysia menyasarkan sebanyak 60 IPO pada tahun 2025. Pihak Bursa Malaysia akan berusaha dengan sedaya upaya untuk merealisasikan sasaran 60 IPO ini," jelasnya.
 

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan lisan Senator Manolan Mohamad pada persidangan Dewan Negara hari ini yang bertanyakan mengenai berapakah angka sasaran penyenaraian syarikat di bursa tersebut sepanjang 2025.
 

Menjelaskan lebih lanjut, Amir Hamzah berkata, Bursa Malaysia pada 2024 telah melakar prestasi cemerlang dari segi IPO dengan menduduki tempat pertama dalam kalangan bursa-bursa ASEAN apabila berjaya merekodkan sejumlah 55 IPO.
 

"Ia menyaksikan ada peningkatan ketara sebanyak 72 peratus berbanding hanya 32 IPO yang dicatatkan pada 2023, manakala jumlah dana diperoleh tahun lepas adalah RM7.42 bilion mencerminkan lonjakan 107 peratus daripada 2023," katanya.
 

Penyenaraian 55 IPO itu ujarnya, menyumbang kepada peningkatan nilai permodalan pasaran sebanyak RM31.37 bilion iaitu peningkatan 130 peratus berbanding tahun sebelumnya yang membuktikan keyakinan dan minat para pelabur bertambah ketara.
 

Prestasi pasaran modal pula kata beliau, turut menyaksikan pertumbuhan Purata Nilai Harian (ADV) yang melebihi sebanyak 50 peratus daripada cuma RM2.06 bilion pada 2023 kepada sejumlah RM3.15 bilion sepanjang tahun lepas.
 

"Permodalan pasaran menunjukkan peningkatan hampir 16 peratus, daripada RM1.80 trilion pada 2023 kepada RM2.08 trilion pada 2024. Halaju pasaran juga bertambah kepada 39.4 peratus pada 2024 berbanding 29.3 peratus pada 2023," katanya.
 

Jumlah rekod IPO dan prestasi keseluruhan IPO yang baik kata Amir Hamzah, adalah bukti minat daripada pelabur domestik dan antarabangsa, disebabkan keyakinan terhadap prospek ekonomi Malaysia dan rangka kerja kawal selia yang kukuh.
 

Sementara itu, Bursa Malaysia menawarkan sebanyak tiga pilihan pasaran kepada mana-mana syarikat yang ingin disenaraikan di negara ini, menurut makluman Kriteria Penyenaraian yang disiarkan menerusi laman web rasminya.
 

Ia meliputi antaranya Pasaran Utama bagi syarikat mampan yang memenuhi piawaian dari segi kualiti, saiz dan operasi. Penerbit yang berpotensi mesti menunjukkan bahawa mereka telah mencapai rekod prestasi keuntungan minimum atau saiz minimum yang diukur dengan permodalan pasaran.
 

Sementara Pasaran ACE pula adalah pasaran yang didorong oleh penaja direka untuk syarikat ada prospek pertumbuhan. Penaja mesti menilai kesesuaian penerbit yang berpotensi, dengan mengambil kira ciri-ciri seperti prospek perniagaan, tingkah laku korporat dan kecukupan kawalan dalaman.
 

Kedua-dua Pasaran Utama dan Pasaran ACE memberi syarikat-syarikat platform yang jelas untuk mengumpul dana daripada pelabur institusi dan runcit.
 

Pilihan terakhir ialah Pasaran LEAP iaitu pasaran yang didorong oleh penasihat yang bertujuan memberikan peluang kepada syarikat-syarikat baru, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, akses kepada pengumpulan dana dan kebolehlihatan yang lebih besar melalui pasaran modal. Ia hanya boleh diakses oleh pelabur Sofistikated (seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007).
 

Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut, boleh melayari pautan berikut untuk pemahaman iaitu https://www.bursamalaysia.com/bm/listing/get_listed/listing_criteria. - DagangNews.com