Bursa Malaysia kemukakan pertanyaan UMA susulan kejatuhan 30% saham HeiTech Padu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia kemukakan pertanyaan UMA susulan kejatuhan 30% saham HeiTech Padu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Bursa Malaysia mengemukakan pertanyaan Aktiviti Pasaran Luar Biasa (Unusual Market Activity atau UMA) kepada HeiTech Padu Bhd selepas saham penyedia perkhidmatan teknologi maklumat itu menjunam sehingga 30% dalam dagangan pada 28 Ogos 2026.

 

Saham HeiTech Padu merosot sehingga 30% ke paras terendah harian 87.5 sen sebelum pulih sedikit. Pada pukul 3.14 petang, saham syarikat itu didagangkan pada 96 sen, masih turun 29 sen atau 23.2% berbanding harga penutup RM1.25 pada 27 Ogos 2026.

 

Kira-kira 412,100 saham bertukar tangan ketika itu, dengan tekanan jualan berlaku sehari selepas syarikat berkenaan mengumumkan kemerosotan mendadak dalam keuntungan bersih bagi suku kedua tahun kewangan 2026.

 

 

 

 

 

HeiTech Padu mencatatkan keuntungan bersih hanya RM70,000 bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, merosot 99% berbanding RM8.09 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kemerosotan keuntungan itu berlaku meskipun hasil syarikat melonjak 95% kepada RM165.68 juta daripada RM84.9 juta sebelumnya, berikutan peningkatan ketara dalam kos pelaksanaan projek serta pembelian perkakasan dan perisian.

 

Kos Projek Dan Teknologi Meningkat Mendadak

Kos pelaksanaan projek meningkat lebih dua kali ganda kepada RM25.55 juta daripada RM12 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pada masa sama, pembelian perkakasan dan perisian melonjak 257% kepada RM83.81 juta berbanding RM23.46 juta sebelum ini yang terus memberi tekanan besar terhadap keuntungan syarikat.

 

Peningkatan kos tersebut menunjukkan pertumbuhan kukuh dalam hasil tidak dapat diterjemahkan kepada peningkatan keuntungan apabila perbelanjaan berkaitan pelaksanaan projek dan teknologi meningkat dengan mendadak.

 

 

 

 

 

Bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun 2026, keuntungan bersih HeiTech Padu turut merosot 86% kepada RM2.52 juta daripada RM18.06 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur terhadap kemampuan syarikat mengekalkan keuntungan di sebalik pertumbuhan hasil yang kukuh, sekali gus memberi tekanan kepada harga saham HeiTech Padu dan mendorong Bursa Malaysia mengemukakan pertanyaan UMA. - DagangNews.com