KUALA LUMPUR 4 Mei - Bursa Malaysia Bhd dijangka meneruskan prestasi stabil sepanjang tahun kewangan 2026 (FY26) disokong peningkatan aktiviti dagangan, meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan tu mengekalkan saranan 'Neutral’ terhadap kaunter itu, namun menaikkan harga sasaran kepada RM8.85 daripada RM8.75 sebelum ini, susulan pelarasan penilaian ke unjuran FY27.
Menurutnya, semakan itu turut mengambil kira nisbah harga kepada pendapatan (PER) yang diselaraskan kepada 23 kali, iaitu purata dua tahun, berbanding 24.5 kali sebelum ini, sejajar pendekatan lebih berhati-hati berikutan konflik di Timur Tengah.
“Walaupun turun naik pasaran akibat konflik dijangka berterusan, ia berpotensi menyokong aktiviti dagangan yang lebih aktif, sekali gus memberi manfaat kepada Bursa Malaysia,” katanya.
Bagi suku pertama FY26, prestasi Bursa Malaysia adalah selaras jangkaan dengan keuntungan bersih meningkat 6.4% tahun ke tahun, disokong pertumbuhan hasil yang kukuh.
Jumlah hasil mencatat peningkatan 16.1% tahun ke tahun, didorong oleh aktiviti dagangan sekuriti yang lebih tinggi, dengan hasil dagangan naik 14.7% kepada RM127.6 juta.
Hasil bukan dagangan turut berkembang 19.3% kepada RM79.3 juta, dipacu oleh lonjakan ketara dalam perkhidmatan penyenaraian dan penerbit yang meningkat 71% kepada RM28 juta susulan kenaikan yuran penyenaraian tahunan.
Dari segi aktiviti pasaran, nilai dagangan harian purata (ADV) meningkat 27% kepada RM3.34 bilion, dengan semua segmen pelabur mencatatkan pertumbuhan, khususnya institusi tempatan yang melonjak 44.3%.
Selain itu, jumlah tawaran awam permulaan (IPO) meningkat kepada 16 berbanding 14 pada tempoh sama tahun lalu, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai peneraju ASEAN dari segi bilangan IPO, dana diperoleh dan permodalan pasaran.
Bagaimanapun, perbelanjaan operasi (OPEX) meningkat 24.2% kepada RM115.3 juta, didorong oleh yuran pengawalseliaan baharu serta kos kakitangan yang lebih tinggi berikutan pelaburan dalam bakat.
Prospek Kekal Positif
Dari segi prospek, firma penyelidikan menjangkakan momentum dagangan kekal positif, walaupun konflik di Timur Tengah berpotensi memberi tekanan jangka pendek.
“Pasaran dilihat semakin menyesuaikan diri dengan perkembangan geopolitik, dan sebarang peningkatan volatiliti dijangka merangsang aktiviti dagangan,” katanya.
Bursa Malaysia turut menetapkan sasaran pulangan ke atas ekuiti (ROE) antara 27% hingga 30% bagi FY26, yang dilihat konservatif mengambil kira peningkatan perbelanjaan modal dan kos operasi. - Da-gangNews.com








