Bursa Malaysia dijangka catat keuntungan kukuh 1Q2026 namun berdepan sentimen berhati-hati pada suku mendatang - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia dijangka catat keuntungan kukuh 1Q2026 namun berdepan sentimen berhati-hati pada suku mendatang - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 April - Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) dijangka mencatat keputusan kewangan suku pertama 2026 (1Q2026) yang kukuh disokong peningkatan aktiviti dagangan, namun prospek bagi baki tahun ini kekal dibayangi cabaran global, menurut penganalisis.

 

CIMB Securities berkata prestasi memberangsangkan pada awal tahun dipacu oleh peningkatan penyertaan pelabur dan turun naik pasaran yang lebih tinggi, dengan purata nilai dagangan harian mencecah antara RM3.3 bilion hingga RM3.5 bilion.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan Bursa Malaysia mencatat keuntungan bersih teras sebanyak RM81.9 juta bagi 1Q2026, yang akan diumumkan pada 30 April ini.

 

“Walaupun keputusan 1Q2026 berpotensi kukuh, ketegangan di Timur Tengah telah mengubah landskap sentimen pasaran, dengan peningkatan sentimen berhati-hati dijangka mengehadkan potensi kenaikan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Menurut CIMB Securities, keadaan pasaran pada awal suku tersebut disokong sentimen “risk-on”, namun berubah lebih berhati-hati pada bulan Mac susulan ketidaktentuan geopolitik.

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan momentum pendapatan akan menjadi lebih sederhana bagi suku-suku seterusnya berikutan sentimen pelabur yang lebih defensif.

 

Sehubungan itu, CIMB menurunkan penarafan Bursa Malaysia kepada ‘pegang’ daripada ‘beli’ serta mengurangkan harga sasaran kepada RM9.00 daripada RM9.70, dengan alasan keterlihatan pendapatan jangka sederhana yang semakin terhad.

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) menganggarkan keuntungan teras Bursa Malaysia bagi 1Q2026 berada pada RM77.8 juta, bersamaan sekitar 27% daripada unjuran penuh tahun kewangan.

 

HLIB berkata angka tersebut, jika tepat, menunjukkan keputusan suku berkenaan sedikit melebihi jangkaan pasaran.

 

Bank pelaburan itu mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran RM9.01.

 

Walaupun Bursa Malaysia dijangka merekod pertumbuhan pendapatan pada 2026, penganalisis menjangkakan momentum pasaran akan kembali normal pada tahun-tahun berikutnya susulan tekanan makroekonomi global termasuk gangguan rantaian bekalan, kadar faedah tinggi serta inflasi yang masih berlarutan. - DagangNews.com