KUALA LUMPUR 4 Dis – Bursa Malaysia Securities Berhad denda RM48,000, penggantungan selama 5 bulan serta teguran awam terhadap Hazni Othman, selepas didapati terlibat dalam aktiviti dagangan manipulatif melibatkan saham Hap Seng Consolidated Berhad.
Dalam kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata, pengawal selia pasaran turut mengarahkan Hazni menjalani latihan berkaitan etika dan profesionalisme Wakil Dagangan (DR) sebagai sebahagian daripada tindakan tatatertib.
Pada masa kesalahan berlaku, Hazni merupakan Wakil Pengedar Bergaji (SDR) di Affin Hwang Investment Bank Berhad (AHIBB) dan didapati telah melanggar beberapa peruntukan penting di bawah Peraturan Bursa Malaysia Securities serta Directives No. 5-001.
Bursa Malaysia Securities memaklumkan aktiviti pelanggaran itu dilakukan melalui akaun dagangan pelanggan korporat (Client A) bagi tempoh 12 bulan, melibatkan dua bentuk utama manipulasi iaitu:
1. Increasing Bid Trades (IB Trades) – pembelian berulang pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran khususnya pada jam terakhir dagangan bagi:
o Menaikkan harga saham,
o Mewujudkan gambaran aliran menaik palsu,
o Mengekalkan harga pada paras tertentu.
2. Influencing Theoretical Closing Price (TCP) – pembelian pada harga lebih tinggi semasa Pre-Closing Phase (PCP) bagi:
o Menutup harga pada paras lebih tinggi,
o Menghalang harga daripada jatuh ketika penutupan.
Aktiviti ini telah mewujudkan gambaran palsu dan mengelirukan terhadap pergerakan harga saham HAPSENG.
Lebih membimbangkan, Bursa mendapati Hazni meneruskan aktiviti manipulatif selama 4 bulan lagi selepas kebimbangan dagangan dibangkitkan oleh Pengawasan Pasaran Bursa (Bursa MS), walaupun aktiviti itu pernah dihentikan sementara selama kira-kira 3 bulan.
Antara corak dagangan yang dikenal pasti ialah:
• Pembelian berulang pada harga lebih tinggi daripada pasaran,
• Penyempitan jurang bida dan tawaran melalui penciptaan pesanan beli berlapis,
• Pengaruh langsung terhadap harga penutupan saham.
Bursa turut menolak dakwaan Hazni beliau sekadar mengikut arahan pelanggan tanpa kepentingan peribadi.
Sebagai wakil dagangan berpengalaman, beliau sepatutnya:
• Membuat penilaian wajar terhadap pesanan pelanggan,
• Mengenal pasti ketidakwajaran dagangan,
• Menjalankan siasatan lanjut terhadap corak dagangan luar biasa,
• Melaksanakan urusan dagangan dengan kemahiran, kebijaksanaan dan ketelitian munasabah.
Bursa menegaskan tindakan Hazni sebagai “sekadar pengambil pesanan” tanpa penilaian wajar adalah tidak boleh diterima, serta gagal menyumbang kepada pasaran yang teratur dan adil.
Antara faktor yang diambil kira dalam mengenakan denda RM48,000 dan penggantungan 5 bulan termasuk:
• Tahap dan impak material aktiviti manipulatif,
• Keingkaran meneruskan dagangan walaupun amaran dikeluarkan,
• Kegagalan bertindak ketika penyelewengan berlaku,
• Pengakuan tidak mempertikaikan pelanggaran pada peringkat penguatkuasaan.
Tindakan tegas ini menjadi isyarat jelas Bursa tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk manipulasi pasaran, khususnya yang melibatkan saham berprofil tinggi seperti HAPSENG, dan berperanan sebagai amaran keras kepada semua Wakil Dagangan.
Bursa Malaysia Securities menegaskan akan terus mengambil tindakan setimpal termasuk penggantungan atau pembatalan pendaftaran individu, bagi memastikan pasaran kekal adil, teratur dan diyakini pelabur. - DagangNews.com








