Bursa Malaysia catat untung bersih RM72.8 juta bagi 1QFY26, kos operasi naik kepada RM115.3 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia catat untung bersih RM72.8 juta bagi 1QFY26, kos operasi naik kepada RM115.3 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 April – Kenaikan kos operasi sebanyak 24.2% muncul sebagai isu kritikal di sebalik prestasi kukuh dicatatkan Bursa Malaysia bagi tempoh suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26).


Pengendali pasaran modal itu namun merekodkan keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM72.8 juta, meningkat 6.4% berbanding RM68.4 juta dalam 1QFY25.


Ia disokong aktiviti pasaran sekuriti yang lebih rancak, dengan hasil operasi naik 16.4% kepada RM206.9 juta, dipacu peningkatan dagangan saham serta yuran tinggi penyenaraian dan penerbitan.


"Peningkatan perbelanjaan operasi kepada RM115.3 juta, sebahagian besar daripada caj kawal selia serta pelaburan berterusan dalam bakat dan teknologi," kata Bursa Malaysia dalam satu kenyataan.


Dari sudut pasaran pula jelasnya, nilai dagangan harian purata (ADTV) didapati bertambah 27% tahun ke tahun (YoY) kepada sebanyak RM3.3 bilion, mencerminkan penyertaan pelabur yang lebih meluas.


Aktiviti pengumpulan dana juga ujarnya, adalah kekal memberangsangkan dengan mencatatkan sejumlah 16 penyenaraian bagi tawaran awam permulaan (IPO) yang merentasi Papan Utama, ACE dan LEAP.


Bursa Malaysia menambah, permodalan pasaran secara keseluruhan turut berkembang 11.4% kepada RM2.1 trilion, manakala dalam segmen derivatif, purata kontrak harian naik 5.2% kepada 107,487 kontrak.


"Ia didorong dagangan minyak sawit mentah hadapan (FCPO) dan aktiviti lindung nilai, dengan produk Mini FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures diperkenalkan sebagai antara strategi inovasi," katanya.

 

Bursa Malaysia_DagangNews


Pasaran Islam pula ujar kenyataan itu, kekal berdaya tahan apabila Bursa Suq Al-Sila’ mencatatkan ADTV sebanyak RM50.7 bilion, termasuk rekod dagangan mencecah RM172.7 bilion pada 2 Januari 2026.


Platform itu jelasnya, kini meluaskan capaian di 29 negara, mengukuhkan kehadiran antarabangsa, dengan permintaan dana patuh Syariah menyaksikan aset di bawah pengurusan kira-kira RM1.05 bilion.


Sementara itu, hasil bukan dagangan meningkat 19.3% kepada RM79.3 juta, menyumbang 38% kepada jumlah hasil operasi, disokong oleh aliran pendapatan berulang seperti yuran penyenaraian tahunan.


Dalam pada Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, prestasi 1QFY26 mencerminkan keyakinan berterusan pasaran modal Malaysia, dipacu aktiviti dagangan lebih tinggi.


Beliau menambah, keutamaan pembangunan pasaran terus disokong baik termasuk memperkukuhkan kualiti dan akses pasaran ekuiti, memperluas produk derivatif serta meningkatkan hubungan rentas sempadan.


Mengulas prospek, beliau menjangkakan pasaran modal tempatan kekal beroperasi dalam persekitaran domestik berdaya tahan dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 5% pada 2026.


“Landskap ini menyediakan asas yang konstruktif untuk pelaburan dan aktiviti pasaran modal, selaras dengan peranan Bursa Malaysia sebagai pengendali pasaran dipercayai,” katanya. - DagangNews.com