Bursa Malaysia, BoardRoom dorong penggunaan rumusan perisikan kelestarian dalam kalangan syarikat tersenarai awam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia, BoardRoom dorong penggunaan rumusan perisikan kelestarian dalam kalangan syarikat tersenarai awam

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed (tengah) bersama Pengarah Bursa Intelligence, Wong Chiun Chiek (kiri) dan Pengarah Serantau Kemampanan BoardRoom, Chong Kok Wai (kanan), memuktamadkan kerjasama bagi memperluas penggunaan Perisikan Kelestarian Berpusat (CSI) dalam kalangan syarikat tersenarai awam (PLC) di Malaysia.
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 26 Mei — Bursa Malaysia menjalin kerjasama dengan BoardRoom Group bagi menggalakkan penerapan lebih meluas rumusan Perisikan Kelestarian Berpusat (CSI) dalam kalangan syarikat tersenarai awam (PLC) di Malaysia.

 

Kerjasama tersebut menyasarkan peningkatan kualiti serta konsistensi pendedahan berkaitan kelestarian korporat selaras dengan usaha negara menuju ekonomi rendah karbon.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, rumusan CSI dibangunkan bagi memudahkan pelaporan kelestarian syarikat sama ada tersenarai mahupun tidak tersenarai, dengan lebih teratur dan menyeluruh.

 

Sejak dilantik sebagai saluran rasmi pelaporan kelestarian Bursa Malaysia Mac 2025, modul pelaporan CSI kini menyokong piawaian Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) iaitu IFRS S1 bagi Keperluan Am Pendedahan Maklumat Kewangan Berkaitan Kelestarian serta IFRS S2 bagi Pendedahan Berkaitan Iklim, di bawah Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Nasional (NSRF).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, bursa komited menyokong syarikat Malaysia dalam perjalanan menyahkarbon dan mengurangkan kesan terhadap iklim.

 

"Komitmen itu menerusi keputusan menyediakan akses percuma kepada semua PLC untuk menggunakan rumusan CSI yang selaras dengan IFRS S1 dan S2.

 

"Dengan kehadiran kukuh dan kepakaran BoardRoom dalam khidmat nasihat kelestarian korporat, kami yakin dapat membantu lebih banyak syarikat memahami keperluan pelaporan yang sentiasa berubah serta meningkatkan mutu pelaporan kelestarian mereka dengan lebih yakin," katanya dalam satu kenyataan. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BoardRoom Group, Angeline Aw berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Bursa Malaysia dalam memperluaskan pelaksanaan rumusan CSI di seluruh sektor korporat.

 

"Kerjasama ini dibina berasaskan hubungan kukuh yang sedia terjalin dengan Bursa Malaysia dan komitmen bersama untuk memperkasa tadbir urus korporat dan pematuhan peraturan.

 

"Dengan pengalaman luas kami dalam mengurus PLC dan kepakaran dalam pelaporan serta nasihat kelestarian, BoardRoom berada pada kedudukan strategik untuk membantu pelanggan melaksanakan rumusan CSI serta menghasilkan laporan kelestarian yang berimpak," katanya.

 

Sejak dilancarkan Jun 2024, kira-kira 180 PLC telah menggunakan platform CSI dan semua syarikat termasuk perusahaan sederhana serta kecil (PKS) dan syarikat pertengahan (MTC), masing-masing digalakkan menggunakannya bagi memperkukuh usaha kelestarian.

 

Rumusan CSI turut merangkumi pelbagai perkhidmatan bernilai tambah seperti kalkulator jejak karbon, modul pengurusan pembekal serta sokongan rangkaian rakan ekosistem bagi meningkatkan prestasi alam sekitar dan mendorong nilai jangka panjang.- DagangNews.com