Bumi Armada berpotensi catat lonjakan pendapatan sehingga 63% jika 1 trillion kaki padu gas di Sumatera Utara disahkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bumi Armada berpotensi catat lonjakan pendapatan sehingga 63% jika 1 trillion kaki padu gas di Sumatera Utara disahkan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Mei - Bumi Armada Berhad berpotensi mencatat peningkatan ketara dalam prestasi kewangannya sekiranya sekurang-kurangnya 1 trilion kaki padu (Tcf) sumber gas di PSC Jalu, Indonesia berjaya disahkan dan dibangunkan secara komersial, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan berkata, pengesahan sumber gas itu mampu meningkatkan pendapatan tahunan kumpulan antara 57% hingga 63%, manakala keuntungan bersih dijangka berkembang sekitar 35% hingga 45%.

 

Menurutnya, potensi pertumbuhan tersebut akan disokong oleh hasil infrastruktur jangka panjang selain keuntungan daripada aktiviti huluan melibatkan jualan gas.

 

“Sekiranya sumber gas sebanyak 2.9 trilion kaki padu (Tcf) berjaya disahkan dan projek mencapai FID sekitar 2028 hingga 2029, Bumi Armada berpotensi menikmati hasil infrastruktur jangka panjang selain keuntungan daripada aktiviti huluan jualan gas,” katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bumi Armada baru-baru ini mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Armada Jalu BV (AJBV) telah menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia bagi Kawasan Kerja Jalu di Lembangan Sumatera Utara, Laut Andaman, timur laut Acheh, Indonesia.

 

AJBV akan bertindak sebagai pengendali PSC Jalu dengan pegangan kepentingan penyertaan sebanyak 100%.

 

Nilai Strategik 

MBSB berkata, projek PSC Jalu dilihat mempunyai nilai strategik tinggi memandangkan kawasan berkenaan dianggarkan memiliki sumber gas sekitar 2.9Tcf yang berpotensi menjadi projek medan gas mega sekiranya berjaya dikomersialkan.

 

Katanya, penglibatan Bumi Armada dalam pembangunan aset laut dalam itu juga mampu membuka peluang kepada kumpulan untuk memanfaatkan kepakaran sedia ada dalam teknologi FPSO dan pengeluaran terapung.

 

Jalu kini menjadi PSC ketiga yang dikendalikan BAB di Indonesia selepas PSC Akia dan PSC Kojo. 

 

Pengelompokan aset ini membolehkan kumpulan mencapai ekonomi skala serantau, memanfaatkan rantaian bekalan tempatan serta mengukuhkan hubungan kawal selianya dengan MIGAS, pengawal selia minyak dan gas Indonesia.

 

Namun begitu, kedalaman air sehingga 1,250 meter menjadikan aset ini tergolong dalam kategori laut dalam.

 

"Ini memerlukan keupayaan teknikal serta peralatan khusus untuk membangunkan medan berkenaan dan kami berpandangan Bumi Armada mempunyai kapasiti serta keupayaan tersebut," kata firma itu.

 

Risiko Sebelum Pembangunan Penuh

MBSB Research turut mengingatkan bahawa sumber gas tersebut masih berada pada peringkat prospek dan belum diklasifikasikan sebagai rizab terbukti.

 

Justeru, beberapa faktor seperti risiko geologi, kos pembangunan laut dalam serta ketidaktentuan harga gas global masih perlu diberi perhatian sebelum projek memasuki fasa pembangunan penuh.

 

Menurutnya, rekod aktiviti penggerudian terdahulu di Lembangan Sumatera Utara dan Laut Andaman menunjukkan kawasan berkenaan mempunyai struktur geologi kompleks dengan tahap kebolehtelapan batuan yang sangat berubah-ubah.

 

“Selain itu, beberapa kawasan di Lembangan Sumatera Utara turut terkenal dengan kandungan gas karbon dioksida (CO2) dan hidrogen sulfida (H2S) yang tinggi, sekali gus boleh meningkatkan kos pemprosesan serta rawatan selepas pengeluaran,” katanya.

 

Firma itu berkata, kedudukan aset di kawasan laut dalam turut menambah tahap kerumitan operasi kerana ia mungkin memerlukan penggunaan peralatan penggerudian khusus yang jauh lebih mahal berbanding operasi konvensional.

 

Dalam masa sama, projek luar pesisir seperti PSC Jalu lazimnya mempunyai tempoh pembangunan panjang antara 12 hingga 24 tahun melibatkan fasa penerokaan, penilaian, pembangunan dan pengeluaran sebelum mampu menjana hasil komersial.

 

Katanya, tempoh pembangunan yang panjang itu menyebabkan Bumi Armada terdedah kepada risiko turun naik harga gas dan LNG global yang boleh berubah secara ketara mengikut keadaan ekonomi dan geopolitik semasa.

 

“Bergantung kepada kaedah pembangunan yang dipilih, Bumi Armada juga mungkin berdepan gangguan rantaian bekalan global bagi komponen kapal dan peralatan khusus yang sebelum ini pernah menyebabkan kelewatan projek selama beberapa tahun,” katanya.

 

Walaupun begitu, MBSB Research berpandangan Bumi Armada masih mempunyai keupayaan teknikal serta pengalaman mencukupi untuk mengendalikan projek laut dalam berikutan kepakarannya dalam operasi FPSO dan teknologi pengeluaran terapung.

 

Oleh itu, sementara menunggu keputusan 1QFY26 serta penjelasan lanjut berhubung PSC Jalu ini, MBSB Research tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan Bumi Armada dan mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran (dalam semakan) RM0.50 sesaham. - DagangNews.com