KUALA LUMPUR 12 Sept – HE Group Berhad kini mengukuhkan kedudukan sebagai pemain berpotensi besar dalam pembangunan sektor pusat data (DC), menurut Public Investment Bank (PublicInvest).
Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi itu terbukti apabila sekitar 80% daripada buku tender semasa kumpulan berkenaan yang bernilai RM700 juta terdiri daripada pelbagai projek berkaitan DC.
Tambahnya, perkembangan positif itu turut mencerminkan hala tuju strategik syarikat tersebut untuk memanfaatkan lonjakan permintaan dalam industri DC yang bernilai tinggi dan tumbuh cukup pantas.
"Fokus jelas HE Group terhadap sektor DC berupaya membuka lembaran baharu bagi pertumbuhan margin yang lebih tinggi dan sinergi silang industri," kata PublicInvest dalam nota kajiannya hari ini.
Usaha itu sekali gus menjadi pemacu utama prestasi kewangan masa depan dan berdasarkan sumbangan tersebut, ia menaikkan saranan ‘neutral’ kepada ‘outperform’, dengan harga sasaran baharu 46 sen.
Syarikat berkenaan pada 26 Ogos 2025 memenangi kontrak DC yang pertamanya di Cyberjaya, Selangor melibatkan kerja sistem agihan tenaga bernilai RM56.7 juta, dan dijadualkan siap menjelang April 2026.
Walaupun kerja berkaitan tenaga secara kelazimannya kata PublicInvest, menawarkan margin rendah, projek DC pula membolehkan margin lebih tinggi kerana tempoh pelaksanaannya ketat dan eksklusif.
"Projek ini sedang berjalan mengikut jadual dan susulan kejayaan itu, baki tempahan kerja HE Group mencecah RM106.3 juta, sekali gus menepati sasaran pengisian semula RM50 juta bagi FY25," katanya.
Ia antaranya meliputi 53.3% dalam projek DC dan kumpulan tersebut juga jelasnya, menyasarkan untuk memperoleh tambahan sebanyak RM50 juta bagi kontrak baharu menjelang akhir tahun kewangan semasa.
PublicInvest turut melihat sinergi yang positif antara pengembangan DC dan lonjakan permintaan cip semikonduktor di Malaysia kerana dua sektor berkenaan saling memperkukuh antara satu sama lain.
Peningkatan bilangan DC baharu tambah firma berkenaan, memerlukan teknologi semikonduktor canggih, dan HE Group kebetulan pula berada pada kedudukan strategik dalam kedua-dua sektor tersebut.
"Bagi memastikan daya tahan margin dalam persekitaran kos bahan mentah tidak menentu, kumpulan itu terus mengurus situasi harga tembaga, komponen utama kabel dan wayar untuk projek," katanya.
Berikutan prospek tempahan kerja yang lebih baik, PublicInvest meningkatkan unjuran pendapatan HE Group bagi FY25 hingga FY27 sebanyak purata 7% sambil memuji pendekatan pengurusan yang fokus.
Kumpulan itu juga katanya, berpandangan jauh mengenal pasti sektor pertumbuhan tinggi seperti DC dan yakin ia bakal muncul sebagai peneraju baharu dalam rumusan teknikal infrastruktur digital
Keadaan tersebut dibantu oleh faktor rekod tempahan kukuh, pendedahan tinggi kepada industri DC yang sedang berkembang pesat, dan kecekapan dalam pengurusan kos. - DagangNews.com








