Buku tempahan Sunview kini meningkat hampir empat kali ganda melalui kontrak solar terbaharu RM290 juta di Sarawak - AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Buku tempahan Sunview kini meningkat hampir empat kali ganda melalui kontrak solar terbaharu RM290 juta di Sarawak - AmInvest

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Mac – Kontrak terbaharu yang diperolehi Sunview Group Bhd bernilai hampir RM290 juta untuk membina loji solar PV di Sungai Likau, Bintulu Sarawak telah menambah baki tempahan yang sebelum ini mula berkurangan, kata AmInvestment Bank Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata kontrak tersebut yang diraih melalui Fabulous Sunview Sdn Bhd daripada Malakoff Evergreen Sdn Bhd memberi keyakinan terhadap pendapatan syarikat untuk beberapa tahun akan datang.

 

“Setakat akhir Disember 2025 baki tempahan yang belum ditagih Sunview hanya RM76.5 juta, namun dengan kontrak terbaharu di Sarawak ini, baki tempahan dijangka meningkat hampir empat kali ganda kepada RM367 juta yang mampu memberi jaminan pendapatan bagi tahun kewangan 2027 dan 2028,” kata AmInvest dalam nota kajiannya.

 

Sunview sebelum ini terkenal dengan projek pemasangan solar berskala besar LSS dan bumbung komersial  industri. Kontrak ini adalah projek pertama mereka di Malaysia Timur sekaligus mempelbagaikan jejak geografi syarikat dan membuka peluang untuk projek lebih besar.

 

Kumpulan ini juga dijangka memperolehi projek LSS 99.99MW di bawah program LSS5+, yang bakal menambah RM150 juta lagi kepada baki tempahan dan jumlah keseluruhan dijangka mencapai RM412 juta pada tahun kewangan 2027, sekaligus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pertumbuhan syarikat.

 

Walaupun prestasi projek kukuh, struktur kewangan Sunview agak tegang, kerana syarikat mempunyai tahap hutang bersih yang tinggi dan memerlukan modal kerja besar untuk projek baharu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sunview raih kontrak EPCC loji solar RM289.7 juta di Bintulu daripada Malakoff

 

Oleh itu Sunview merancang untuk meningkatkan ekuiti bagi menyeimbangkan semula struktur modal dan mengurangkan risiko kewangan.

 

AmInvest berkata Sunview juga terus membida untuk projek EPCC solar bernilai RM5 bilion di bawah program CRESS, Solar ATAP dan LSS6 yang akan datang, dan aktiviti tender ini dijangka menyokong pertumbuhan baki tempahan serta pendapatan syarikat pada masa depan.

 

Firma tersebut juga mengekalkan saranan Pegang bagi saham Sunview dengan harga sasaran RM0.35 sesaham setelah mengambil kira baki tempahan semasa dan projek baharu.

 

AmInvest berkata antara faktor positif termasuk pelaksanaan kontrak lebih awal daripada jangkaan dan peluang tambahan dari projek lain manakala risiko yang ada termasuk tahap hutang tinggi dan kos projek dikhuatiri meningkat.

 

Sunview kini berada dalam kedudukan baik untuk terus mendapat projek solar baharu, terutamanya dalam segmen EPCC, dan kontrak Sarawak ini mengukuhkan kedudukan syarikat dalam industri. - DagangNews.com