Buku tempahan Samaiden diyakini mampu capai sasaran RM1 bilion dalam 6 bulan - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Buku tempahan Samaiden diyakini mampu capai sasaran RM1 bilion dalam 6 bulan - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Jun — Samaiden Group Berhad diyakini mampu mencapai sasaran buku tempahan mencecah RM1 bilion seawal-awalnya dalam tempoh enam bulan atau paling lewat 18 bulan yang akan datang, menurut TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, potensi berkenaan turut disuarakan sendiri oleh Ketua Pegawai Strategi Kumpulan, Dr. Tee Wu Shun ketika beliau mengetuai taklimat mengenai keputusan kewangan untuk 3QFY25 pada 6 Jun 2025.


Tambahnya, sasaran tersebut tidak mustahil dapat dicapai berdasarkan kejayaan Samaiden memperoleh banyak kontrak baharu untuk projek solar berskala besar fasa kelima (LSS5) dan unjuran pelancaran fasa yang seterusnya pula, LSS6.


"Kumpulan ini juga berkeyakinan ia mampu menerima pelbagai tender untuk kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) menerusi kitaran bagi bidaan LSS5+," kata TA Securites dalam satu nota kajiannya.


Ia merujuk kejayaan Samaiden yang memeterai banyak perjanjian dengan terkini pada 29 Mei 2025 melibatkan projek LSS5 di Pasir Mas, Kelantan dan sebelum itu pada 20 Mei 2025 membabitkan kemudahan janakuasa solar di Kulim, Kedah.


Kedua-dua tender itu bernilai RM145.7 juta dan setakat ini, buku tempahan terbaharu kumpulan berkenaan, dianggarkan sudah RM588 juta, dengan telah mencapai rekod tertinggi yang mewakili 2.6 kali ganda pendapatan pada FY24.


Sekiranya momentum positif itu berterusan, Samaiden menyasarkan untuk mengekalkan paling kurang 10 peratus bahagian pekerjaan EPCC di bawah LSS5 dan mengintai peluang kejayaan selanjutnya dalam usaha mencecah nilai RM1 bilion.


"Kami menganggarkan sekurang-kurangnya satu lagi kemenangan kerja untuk projek 162MWac EPCC yang bernilai RM568 juta diperlukan untuk kumpulan ini mampu mencapai sasaran bahagian pasaran 10 peratus untuk LSS5," tambahnya.


Samaiden kata TA Securities, menjangkakan keputusan kitaran pembidaan LSS5+ yang berkeupayaan 2000MW diumumkan penghujung Jun 2025 dan jika menjadi kenyataan, kerja EPCC pula boleh mula dilakukannya menjelang akhir 2025.


Berdasarkan unjuran tersebut, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' ke atas kumpulan itu manakala harga sasaran turut tidak berubah kepada RM1.38 sesaham dengan menilai aliran tunai yang kukuh dan jaminan hasil berterusan. - DagangNews.com