KUALA LUMPUR 17 Sept – Southern Score Builders Berhad berada di landasan strategik menembusi banyak projek pembangunan sektor pusat data (DC) secara lebih agresif, menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan tersebut berkata, situasi kali ini sekali gus dapat mempelbagaikan sumber pendapatan kumpulan dan meningkatkan sumbangan daripada segmen teknologi yang lebih berimpak tinggi.
Menurutnya, anak syarikat kumpulan berkenaan, SJEE Engineering Sdn Bhd berjaya menggandakan buku tempahan menerusi tender DC kepada RM214 juta, setelah memenangi kontrak RM122 juta.
"Ia dua projek milik pelanggan dari Amerika Syarikat (AS) dan ini menandakan kemajuan dalam usaha kumpulan menyasarkan DC sebagai pemacu pertumbuhan yang baharu," kata Phillip Capital.
Dalam notanya, ia menambah, pengurusan Southern Score menyasarkan untuk terus mengekalkan buku tempahan yang direkodkan SJEE pada paras konsisten antara RM200 juta sehingga 300 juta.
Langkah berkenaan kata firma tersebut, dengan matlamat menyumbang sehingga 40% kepada hasil kumpulan dan SJEE kini aktif membida projek DC tambahan yang diunjur bernilai RM384 juta.
Ini tambah Phillip Capital, termasuk daripada beberapa pelanggan yang sedia ada dan juga klien baharu dari Australia untuk pembangunan sejumlah projek DC di Cyberjaya, Selangor.
"Penglibatan Southern Score dalam sektor ini sebagai pendedahan strategik kepada pasaran bernilai tinggi memandangkan permintaan infrastruktur DC terus meningkat," kata firma itu.
Perkembangan itu juga jelasnya, sejajar perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) di dunia dan kumpulan ini disokong buku tempahan keseluruhan bernilai RM1.4 bilion.
Angka berkenaan kata Phillip Capital, yang dijangka menyumbang kepada lonjakan pendapatan pada tahun kewangan 2026 dengan pecahan utama buku tempahan melibatkan empat jenis projek.
Ia tambah firma itu termasuk 58% daripada projek Platinum Victory, 23% daripada pelbagai projek perumahan lain, manakala 15% daripada projek DC dan baki 4% daripada projek Radium.
"Southern Score sedang membida projek bernilai RM648 juta, dengan 60% daripadanya terdiri projek kerajaan seperti kerja mitigasi banjir, dan selebihnya projek swasta," katanya lagi.
Selain itu kata Phillip Capital, tender rundingan terus berjumlah RM510 juta berpotensi pada FY26 termasuk pembinaan hospital oleh Radium di Melaka yang dianggarkan bernilai RM210 juta.
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli' dengan harga sasaran 75 sen sesaham dan menyifatkan Southern Score sebagai peneraju baharu dalam landskap pembinaan berasaskan teknologi.
Bagaimanapun, ia turut memberi amaran risiko yang boleh menjejaskan prestasi Southern Score termasuk isu ketidakstabilan dasar kerajaan dan kenaikan mendadak harga bahan binaan.
"Momentum pertumbuhan syarikat ini namun kukuh serta hala tuju strategik ke sektor digital dan DC meletakkannya dalam posisi pertumbuhan mampan," kata Phillip Capital. - DagangNews.com








