KUALA LUMPUR 15 Ogos — Samaiden Group Berhad diyakini berupaya mencatatkan lonjakan pendapatan mencecah sebanyak 78 peratus pada suku keempat tahun kewangan 2025, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, peningkatan yang amat besar itu disumbangkan daripada faktor buku tempahan kukuh kumpulan berkenaan apabila dianggarkan mencatatkan tunggakan RM472 juta.
Jumlah itu tambahnya, bersamaan kira-kira 2.1 kali ganda hasil direkodkan kumpulan ini pada FY24 dengan Samaiden menyasarkan dapat mencapai sebanyak RM1 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang.
"Kumpulan ini bakal mengumumkan keputusan 4QFY25 pada minggu terakhir bulan Ogos 2025 dan kami mengunjurkan pendapatan masuk berpotensi menghampiri RM8 juta," kata TA Securities dalam notanya.
Secara ringkas, firma itu menganggarkan keuntungan bersih teras kumpulan ini pada FY25 antara RM19 juta sehingga RM21 juta dengan merekodkan peningkatan pertumbuhan 41 peratus tahun ke tahun (YoY).
Memandangkan potensi kukuh kemajuan projek dan margin lebih baik daripada ramalan sebelum ini, ia meningkatkan keuntungan bersih Samaiden pada FY25, FY26F dan FY27 masing-masing 10%, 4% dan 1%.
Unjuran itu kata TA Securities, disokong prospek menang kerja di bawah inisiatif program solar berskala besar (LSS) dan pelbagai kontrak akan datang menerusi kitaran pembidaan terbaharu LSS5+.
"Kerajaan dijangka menawarkan kapasiti solar 4GW agregat untuk dibida dengan anggaran potensi kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) mencecah RM14 bilion," katanya.
Justeru, firma itu terus menggemari Samaiden sebagai antara penerima utama skim kitaran semula dalam loji tenaga boleh diperbaharui (RE) yang dijana buku tempahan dan kedudukan tunai bersih kukuh.
Berdasarkan perkembangan positif ini, TA Securities terus mengulangi saranan 'beli' ke atas kumpulan ini dengan harga sasaran sesaham dinaikkan kepada RM1.47 berbanding RM1.38. - DagangNews.com








