Buku tempahan kukuh cecah RM1.5 bilion lonjak prospek Southern Score, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Buku tempahan kukuh cecah RM1.5 bilion lonjak prospek Southern Score, kata Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 SeptSouthern Score Builders Berhad terus menunjukkan prestasi kukuh dengan buku tempahan tertunggak mencecah RM1.5 bilion, yang bersamaan 6.6 kali ganda liputan hasil FY25.

 

Menurut Phillip Capital, perkembangan positif berkenaan diyakini mampu memberikan asas yang kukuh untuk pertumbuhan pendapatan secara jangka sederhana kepada kumpulan pembinaan itu sendiri.


Kata firma tersebut, nilai kontrak terkumpul setakat tahun ini telah meningkat kepada RM122 juta, selepas anak syarikat miliknya 51%, SJEE Engineering Sdn Bhd memperoleh satu lagi projek berskala besar.


Ia dilaporkan bernilai RM102.7 juta bagi kerja pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian, pentauliahan, penyelenggaraan serta jaminan projek pusat data (DC) daripada pelanggan sedia ada.


“Kontrak baharu ini turut merangkumi kerja sistem elektrik untuk projek DC tersebut, dan dijangka siap menjelang tempoh suku keempat 2026,” jelas Phillip Capital dalam nota kajiannya hari ini.


Dengan jangkaan margin keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 10%, firma itu juga menganggarkan kontrak ini bakal menyumbang keuntungan bersih sekitar RM10 juta dalam tempoh FY26 hingga FY27. 


Projek-projek DC yang dilaksanakan oleh Southern Score pada ketika ini, kata firma penyelidikan tersebut, mewakili kira-kira 15% daripada jumlah keseluruhan buku tempahan kumpulan berkenaan.


Syarikat tersebut turut sedang membida projek tambahan bernilai antara RM100 juta hingga RM150 juta daripada para pelanggan DC yang sama bagi fasa pembangunan baharu di lokasi berdekatan.


"Prospek masa depan syarikat kekal cerah dengan senarai tender bernilai RM1.2 bilion, meliputi 39% projek DC, 30% projek perumahan dan 30% projek bangunan yang berkaitan kerajaan," katanya.


Phillip Capital menyatakan bahawa Southern Score berada di kedudukan strategik untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat sektor DC, sambil mengekalkan sokongan pelanggan utama seperti Radium.


Sehubungan itu, firma berkenaan mengekalkan unjuran pendapatan dan menyarankan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah kepada 75 sen, berdasarkan unjuran penilaian ke atas perolehan FY27.


Bagaimanapun, ia memberi amaran mengenai risiko utama perlu dihadapi termasuk perubahan polisi kerajaan secara mendadak serta ketidaktentuan kos bahan mentah di pasaran dalam jangka panjang.


“Kami namun yakin terhadap strategi pengembangan Southern Score dalam sektor DC dan potensi pengukuhan pendapatan daripada pelanggan utama,” tambah firma tersebut. - DagangNews.com