KUALA LUMPUR 9 April – Risiko kenaikan tinggi kos bahan binaan susulan konflik di Timur Tengah dilihat sebagai cabaran utama kepada sektor pembinaan termasuk ke atas Inta Bina Group Berhad.
Bagaimanapun menurut TA Securities, kumpulan pembinaan tersebut dilihat sebagai masih kekal berada pada landasan kukuh dengan diimbangi buku tempahan yang kukuh mencecah RM2 bilion setakat ini.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun diambil kira tekanan kos berkenaan, syarikat tersebut itu terus menunjukkan daya tahan dengan kemenangan kontrak baharu di Setia Alam bernilai RM32.4 juta.
"Tender ini diperoleh melalui anak syarikat milik penuhnya, Inta Bina Sdn Bhd daripada Eco Ardence Sdn Bhd, dengan melibatkan kerja-kerja bangunan utama," jelasnya dalam nota analisis hari ini.
Tambah TA Securities, kemenangan kontrak terbaharu ini meningkatkan buku tempahan semasa Inta Bina bersamaan 3.1 kali ganda hasil pembinaan FY25, dan memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh.
Ujar firma berkenaan, dengan andaian margin bersih kira-kira 5%, projek tersebut dijangka dapat menyumbang sebanyak RM1.6 juta keuntungan bersih kepada kumpulan itu sepanjang tempoh pembinaan.
Ia merupakan kontrak kedua yang dimenangi oleh Inta Bina bagi FY26, menjadikan jumlah setakat ini kepada RM81.4 juta atau 9.6% daripada sasaran penambahan kontrak tahunan sebanyak RM850 juta.
Artikel berkaitan: Inta Bina raih kontrak RM32.4 juta pembangunan komersial di Eco Ardence

"Walaupun momentum semasa dilihat sedikit perlahan, kami menjangkakan aktiviti perolehan kontrak baharu akan meningkat dengan baik dalam tempoh suku-suku yang akan datang," kata TA Securities.
Unjuran berkenaan jelas firma penyelidikan tersebut, disokong oleh buku tender syarikat yang besar berjumlah RM4.9 bilion, sekali gus memberikan potensi kukuh untuk kemenangan projek baharu.
Berdasarkan kepada perkembangan itu, ia mengekalkan unjuran pendapatan Inta Bina tanpa sebarang perubahan memandangkan kontrak baharu ini sudah diambil kira dalam jangkaannya yang sedia ada.
TA Securities turut mengekalkan saranan 'beli' terhadap sahamnya, namun menurunkan harga sasaran (TP) kepada 68 sen berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 7 kali bagi unjuran FY27.
"Penilaian lebih rendah itu juga mengambil kira pelbagai risiko peningkatan kos bahan binaan pada ketika ini yang berpotensi menjejaskan margin kumpulan dalam jangka sederhana," kata firma itu.
Secara keseluruhan, ia terus positif terhadap Inta Bina berikutan kedudukannya sebagai penerima manfaat pertumbuhan sektor hartanah domestik, disokong buku tempahan kukuh. - DagangNews.com








