Buku tempahan cecah RM554 juta, CBH Engineering kukuh ekosistem tenaga digital - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Buku tempahan cecah RM554 juta, CBH Engineering kukuh ekosistem tenaga digital - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 OktCBH Engineering Holding Berhad mengukuhkan kedudukan dalam sektor infrastruktur tenaga apabila nilai buku tempahan terkumpul sudah melonjak kepada RM554 juta.


Menurut TA Securities, ia susulan kejayaan meraih satu kontrak bernilai RM20.67 juta bagi kerja-kerja awal sistem voltan tinggi yang berkapasiti 275kV melibatkan sebuah projek pusat data (DC) di Johor.


Katanya, tender tersebut diperoleh oleh anak syarikatnya, CBH Engineering Sdn Bhd, daripada pelanggan yang tidak dinamakan dengan tempoh kontrak selama 11 bulan bermula 16 Oktober 2025.


"Melalui kontrak ini, jumlah tempahan 2025 sehingga kini naik kepada RM471.6 juta, iaitu 94.3% daripada sasaran pengisian semula buku tempahan FY25 sebanyak RM500 juta," katanya dalam nota.


Tambah TA Securities, berdasarkan margin bersih konservatif sebanyak 15%, tender terbaharu itu dijangka menyumbang sekitar RM3.1 juta kepada keuntungan sepanjang tempoh projek hampir setahun.


Nilai RM554 juta dalam buku tempahan terkumpul memberi liputan 2.1 kali ganda daripada unjuran hasil FY25, sekali gus mengukuhkan kedudukan aliran tunai dan pendapatan masa depan syarikat.

 

Artikel berkaitan: CBH Engineering peroleh kontrak RM20.67 juta bina pencawang 275kV pusat data di Johor


Firma penyelidikan itu menambah, ia merupakan kontrak kelima berkaitan DC yang diperoleh CBH setakat ini mencerminkan kepercayaan pasaran terhadap kepakaran syarikat infrastruktur digital.


"Sebagai pembekal rumusan sistem tenaga voltan tinggi, kami melihat projek ini sebagai peluang strategik untuk memperoleh pakej utama bagi sistem tenaga penuh DC tersebut," kata TA Securities.


Situasi tersebut jelas firma berkenaan, berpotensi dalam menyumbang nilai margin sebanyak RM165 juta, berdasarkan penanda aras standard kos pembinaan DC iaitu RM0.6 juta bagi setiap kW.


Dengan tender aktif dicatatkan CBH sekitar RM730 juta, ia turut menaikkan unjuran pengisian semula buku tempahan pada tahun depan kepada sebanyak RM500 juta berbanding hanya RM450 juta sebelumnya.


TA Securities juga menaikkan unjuran pendapatan bersih pada 2026 dan 2027 masing-masing sebanyak 6.7% dan 5.6%, yang mencerminkan peningkatan pengiktirafan hasil daripada banyak projek baharu.


"Kami namun menurunkan saranan kepada ‘pegang’ daripada ‘beli’, kerana lonjakan harga baru-baru ini susulan pemangkin jangka pendek, dan harga sasaran naik kepada 58 sen sesaham," katanya.


Bagaimanapun jelasnya, CBH berpotensi mendapat manfaat daripada lonjakan pelaburan DC yang didorong daripada permintaan skala besar dan sokongan dasar kerajaan. - DagangNews.com