KUALA LUMPUR 22 Ogos – Disokong oleh buku tempahan kukuh berjumlah RM1.5 bilion, Deleum Berhad dilihat terus kekal berada pada landasan kukuh untuk pertumbuhan berterusan, menurut penganalisis.
MBSB Research berkata, meskipun berdepan kelembapan dalam segmen tenaga dan jentera (P&M), kumpulan itu berupaya mencatatkan keuntungan bersih RM32 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2025.
Ia memang kelihatan sedikit menyusut sebanyak 4% berbanding rekod tahun sebelumnya, namun masih dalam jangkaan firma penyelidikan tersebut, iaitu sekitar 40% daripada anggaran tahun penuh.
"Segmen P&M mencatatkan penurunan hasil, manakala hasil lebih rendah dilaporkan dalam pelbagai bahagian perniagaan, tetapi disokong oleh beberapa faktor," kata firma itu dalam nota kajiannya.
Ini termasuk peningkatan jualan dalam perkhidmatan injap kawalan dan keselamatan, aktiviti servis medan, serta sumbangan tambahan daripada pengambilalihan PT OSA Industries Indonesia (OSAII).
Sebaliknya tambah MBSB Research, segmen perkhidmatan minyak dan gas (OIS) mempamerkan prestasi kukuh dengan hasil RM118.8 juta (+47% YoY) dan keuntungan bersih naik 229% tahun ke tahun (YoY).
Lonjakan yang amat positif tersebut kata firma itu, disumbang oleh aktiviti penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian (MCM), penggunaan bahan kimia khas, serta aktiviti stimulasi telaga.
"Kami menjangkakan prestasi syarikat terus disokong permintaan konsisten terhadap aktiviti operasi dan penyelenggaraan jangka panjang, meskipun keadaan pasaran huluan tidak menentu," katanya.
Justeru, MBSB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) kekal kepada RM1.92 sesaham bersandarkan nisbah perolehan 9.5x kali dan anggaran nilai pendapatan saham FY25 sebanyak 20.8 sen.
Sementara itu, HLIB Research pula melaporkan bahawa keuntungan bersih bagi 2QFY25 berjumlah RM20.3 juta, meningkat 66% secara suku ke suku (QoQ) dan 4% YoY, adalah masih lagi di bawah jangkaannya.
Bagaimanapun tambah firma penyelidikan tersebut, prestasi memberangsangkan segmen OIS didorong oleh peningkatan ketara dalam projek MCM, bahan kimia khas, serta banyak aktiviti sitmulasi telaganya.
"Segmen P&M namun masih mencatatkan kelembapan dengan hasil turun 7% YoY, kerana jualan rendah enjin gantian, serta pendapatan komisen susut dalam perniagaan mekanikal dan proses," katanya.
Ia turut disebabkan faktor penurunan jualan alat ganti turbin dan khidmat baik pulih, dengan situasi itu menyebabkan HLIB Research menurunkan unjuran pendapatan pada FY25 sebanyak 8%.
Firma itu namun mengekalkan unjuran untuk FY26 dan FY27 selain kekal optimis terhadap prospek jangka sederhana segmen P&M, berdasarkan laporan daripada PETRONAS Activity Outlook 2025–2027.
Katanya, laporan itu meramalkan peningkatan penukaran enjin daripada 45 unit pada 2024 kepada 53 unit menjelang 2027 dengan Deleum dijangka meraih manfaat besar daripada kenaikan permintaan ini.
"Bagi segmen OIS, dua kontrak Pan-Malaysia Offshore MCM dan HUC yang diberi oleh PETRONAS Carigali untuk tempoh lima tahun bermula 2025 akan menyumbang pendapatan stabil," kata HLIB lagi.
Dengan bersandarkan kepada prospek kukuh tersebut, firma berkenaan turut *mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Deleum dengan TP yang tidak berubah kepada RM2.00 sesaham. - DagangNews.com








