KUALA LUMPUR 12 Jan - BTM Resources Berhad berhasrat melaksanakan pelupusan kilang pengeluaran pelet kayu yang berkeluasan 7,520.87 meter persegi dengan nilai pertimbangan sebanyak RM4 juta.
Kumpulan tersebut berkata, hartanah terletak di Mukim Bukit Payong, Daerah Marang, Terengganu itu milik anak syarikatnya, BTM Biomass Products Sdn Bhd, akan dijual kepada Gimzan Plywood Sdn Bhd.
Bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada kelulusan majoriti pemegang sahamnya pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dijadualkan pada 6 Februari 2026 di Hotel Armada, Petaling Jaya, Selangor.
"Ia merupakan Resolusi Pertama yang akan dibentangkan pada mesyuarat berkenaan dengan tarikh akhir rekod pemegang saham ditetapkan pada 27 Januari 2026," maklum BTM Resources kepada Bursa Malaysia.
Selain itu, kumpulan tersebut pada EGM juga akan membentangkan Resolusi Kedua untuk kelulusan pelupusan peralatan dan mesin dalam kilang (PME) kepada Gimzan dengan pertimbangan RM0.50 juta.
Sementara Resolusi Ketiga pula jelas kumpulan berkenaan, mencadangkan variasi penggunaan baki hasil daripada terbitan hak yang selesai pada Januari 2023, dengan anggaran kira-kira RM19.59 juta.
Syarikat itu turut mencadangkan Resolusi Khas untuk pengurangan modal saham berjumlah RM80 juta mengikut Seksyen 117 Akta Syarikat 2016, dengan tujuan menyeimbangkan kerugian terkumpul.
"Langkah berkenaan sekiranya menerima persetujuan pemegang saham, akan memperkuatkan kedudukan kewangan BTM Resources bagi masa depan dalam jangka panjang," katanya. - DagangNews.com








