Briged Para Tentera Darat tubuh Kompeni Bot Amfibi persediaan terima aset baharu hoverkraf | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Briged Para Tentera Darat tubuh Kompeni Bot Amfibi persediaan terima aset baharu hoverkraf

Briged Para mempunyai kemahiran dalam operasi serangan amfibia menggunakan bot tempur - gambar 10 Briged Para.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Persediaan Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk mengoperasikan aset baharu iaitu hoverkraf mula dibuat apabila Tim Nukleus Kompeni Bot Amfibi ditubuhkan secara rasmi.

 

Unit di bawah naungan pasukan 10 Briged (Para)) TDM ini bakal mengendalikan hoverkraf dan bot serangan (combat rubber raiding craft) yang dibeli Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai sebahagian daripada rancangan pemodenan.

 

Kompeni bot ini dipercayai dikendalikan oleh anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (Para).

 

 

 

 

 

 

 

Penubuhan tim nukleus tersebut sebagai langkah permulaan yang bakal memainkan peranan penting dalam operasi amfibi.

 

Kapal
Tim Nukleus Kompeni Bot Amfibi 10 Briged (Para).

 

Kapal
Panglima 10 Briged (Para), Brig Jen Khairul Anwar Soib (kanan) membalas tabik hormat semasa melancarkan Tim Nukleus Kompeni Bot Amfibi.

 

Ia sekali gus memperkukuh keupayaan briged dalam pengoperasiannya sebagai Pasukan Atur Gerak Cepat ATM.

 

Briged Para juga sering melaksanakan operasi serangan amfibia menggunakan perahu tempur sedia ada selain terlibat dalam latihan serupa dengan tentera negara sahabat.

 

Berbanding menggunakan perahu tempur, penggunaan hoverkraf untuk mendaratkan anggota tentera ke pantai dilihat lebih sesuai termasuk pada permukaan pantai yang tidak rata.

 

Sepertimana dalam konsep penubuhan sesebuah unit baharu, tim nukleus bertindak sebagai pasukan awal sebelum sebuah pasukan yang benar-benar lengkap dibentuk.

 

Kapal

 

Kapal
Hoverkraf model Salamander yang bakal diterima TUDM.

 

Kapal

 

Memandangkan hoverkraf merupakan aset yang belum pernah digunakan TDM sebelum ini, maka penubuhan Tim Nukleus Kompeni Bot Amfibi adalah sebagai langkah permulaan.

 

Penubuhan Kompeni Bot Amfibi 10 Briged (Para) yang sebenar akan dilaksanakan kemudian dan beroperasi sepenuhnya bagi mendokong perancangan angkatan masa hadapan ATM.

 

Sebelum ini, kontrak membekalkan 6 buah hoverkraf TDM bernilai RM20.37 juta telah dimenangi syarikat tempatan, IDC Technologies Sdn. Bhd. (IDC Technologies) pada Januari lalu.

 

Kontrak itu meliputi membekal, menghantar, menguji dan mentauliah selama tiga tahun. 

 

IDC Technologies akan membekalkan hoverkraf keluaran Airlift Hovercraft Pty Ltd yang berpangkalan di Queensland, Australia bagi model Kaiman atau nama tempatannya Salamander bagi perolehan ini.

 

Kapal

 

Kapal

 

Kapal

 

Hoverkraf model Salamander ini boleh memuatkan 10 anggota termasuk 2 pengendali.

 

Rancangan perolehan hoverkraf untuk TDM diumumkan semasa pembentangan belanjawan negara pada tahun 2023.

 

 

 

 

 

 

Tentera Darat tidak pernah memiliki aset ini, sehubungan itu rancangan mendapatkan hoverkraf dilihat satu perkembangan baharu. 

 

Dengan persekitaran operasi yang melibatkan kawasan perairan, pulau-pulau dan tasik, maka keputusan untuk menambah hoverkraf sebagai aset ketenteraan adalah praktikal. - DagangNews.com