KUALA LUMPUR 21 Mac — Bonia Corporation Berhad mahu meningkatkan kepentingannya dalam anak syarikat pelaburan hartanah dan syarikat bersekutu yang mengendalikan restoran makanan laut dengan gabungan berjumlah RM13.16 juta.
Peruncit mewah tersebut berkata, ia akan memperoleh tambahan 25 peratus pegangan dalam Casa Bologna Sdn Bhd yang bernilai RM5.66 juta, dan menjadikan penguasaannya terus meningkat kepada sebanyak 90 peratus.
Anak syarikat berkenaan memiliki dua bidang tanah utama di kawasan Bukit Bintang, di sini yang dibeli oleh Bonia daripada Capital Land Sdn Bhd pada 18 Ogos 2020 dengan nilai ketika itu sebanyak RM49.35 juta.
"Pemerolehan terkini itu adalah peluang yang baik untuk berpotensi menikmati peningkatan modal dan pendapatan sewa yang lebih tinggi," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Bonia dalam makluman yang berasingan berkata, ia juga merancang untuk membayar RM7.5 juta bagi membeli 60 peratus saham dalam One Seafood F&B Sdn Bhd yang mengendalikan sebuah restoran di Bukit Bintang.
Sekiranya perjanjian itu dimuktamadkan, Bonia akan mengawal 90 peratus kepentingan One Seafood manakala pemegang saham yang sedia ada, Marcus Lee Andrew, akan terus memegang baki sebanyak 10 peratus.
"Cadangan pemerolehan One Seafood didorong oleh faktor kelebihan strategik kawalan yang dipertingkatkan dan penyatuan kewangan", kata Bonia. One Seafood pada masa ini memegang 10 peratus kepentingan dalam Casa Bologna.
Selain itu, Bonia juga boleh mendapat banyak manfaat daripada aktiviti yang semakin meningkat di kawasan sekitar, serta akan meningkatkan aliran trafik dan perniagaan untuk restoran itu, tambahnya.
Kedua-dua pengambilalihan itu, yang akan dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman, dijangka selesai pada suku ketiga tahun ini, kata Bonia. - DagangNews.com








