KUALA LUMPUR 6 Jan – Bank Negara Malaysia (BNM) menawarkan peruntukan tambahan sebanyak RM2.5 bilion di bawah Dana BNM bagi membantu lebih ramai usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Langkah ini berikutan Ucapan Amanat Tahun Baru 2026 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan kepentingan akses pembiayaan kepada sektor PKS sebagai tunjang pertumbuhan ekonomi.
Jelasnya, dana tambahan ini meningkatkan jumlah keseluruhan peruntukan di bawah Dana BNM daripada RM32.4 bilion kepada RM34.9 bilion, serta usahawan baharu, khususnya peminjam kali pertama.
"BNM justeru mengalu-alukan pengumuman beliau semalam mengenai penambahan Dana BNM untuk PKS serta pengenalan skim jamin pembiayaan," tambah bank pusat tersebut dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, sebelum ini dana berkenaan disalurkan melalui institusi kewangan peserta bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdaya maju namun menghadapi kekangan pembiayaan.
Selain daripada penambahan dana khusus tersebut, BNM turut mengumumkan peralihan kepada sokongan berasaskan skim jaminan kredit dengan sasaran pembiayaan yang dijamin sebanyak RM10 bilion.
Inisiatif terkini itu katanya, bertujuan memberi manfaat dengan menghasilkan impak besar kepada segmen PKS secara lebih luas, termasuk peminjam kali pertama dan aktiviti keusahawanan baharu.
"Skim ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan institusi kewangan lain," kata BNM menegaskan yang pendekatan ini mengurangkan halangan pembiayaan.
Pada masa sama, ia dijangka memaksimumkan kesan positif kepada ekonomi PKS sendiri, yang selama ini dikenal pasti banyak memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Perdana Menteri jelasnya, turut menekankan usaha ini selaras dengan strategi kerajaan menyokong keusahawanan baharu dan memperkukuh daya saing PKS pada peringkat global. - DagangNews.com








