KUALA LUMPUR 17 Jun — Bank Negara Malaysia (BNM) sedang melaksanakan satu set inisiatif utama yang dirujuk sebagai RESET, untuk menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan di negara ini.
Gabenornya, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, usaha itu memberi tumpuan kepada membaik pulih insurans dan takaful perubatan serta kesihatan di samping meningkatkan ketelusan harga.
Pada masa sama tambahnya, RESET berusaha menaik taraf infrastruktur kesihatan digital, meluaskan akses kepada pilihan rawatan mampu milik, dan sistem pembayaran para penyedia sektor berkenaan.
"Kejayaan RESET bergantung kepada penglibatan semua pihak berkepentingan dalam membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih mudah diakses dan berdaya tahan untuk rakyat Malaysia," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya pada Simposium Sasana 2025 serta mengesahkan inisiatif itu dibantu oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.
Pelaksanaan RESET kata Abdul Rasheed, turut disokong banyak pihak berkepentingan utama yang lain, manakala penjelasan lanjut akan dihuraikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Sementara itu, Abdul Rasheed berkata, dalam memacu agenda hijau BNM, pembangunan inisiatif Rantaian Nilai Penghijauan, yang diperkenalkan pada 2022, semakin mendapat momentum di Malaysia.
Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini katanya, Malaysia juga berkongsi pengalaman dan pembelajarannya bagi menyokong usaha serantau dalam membina ekonomi serantau yang mampan dan berdaya tahan iklim.
“Saya juga berbesar hati mengumumkan bahawa Makmal Inovasi Kewangan Iklim (CFIL), inisiatif di bawah Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim, telah memulakan operasi secara rasmi," katanya.
Tambah beliau, CFIL berfungsi sebagai platform kerjasama untuk membangun dan menguji potensi rumusan kewangan baharu untuk pelbagai projek berkaitan iklim dan alam semula jadi.
Simposium Sasana, bertemakan Pembaharuan Struktur: Membina Ketahanan Malaysia, mengetengahkan perbincangan struktur yang merentasi pelbagai sektor. - DagangNews.com








