BNM perkenalkan dana khas RM5 bilion sokong perniagaan PKS terjejas disebabkan konflik Timur Tengah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM perkenalkan dana khas RM5 bilion sokong perniagaan PKS terjejas disebabkan konflik Timur Tengah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 28 AprilBank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan kemudahan pembiayaan khas bernilai RM5 bilion bagi memastikan kelangsungan operasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).


Menurut kenyataan bank pusat itu, langkah berkenaan didorong tekanan kewangan semakin meruncing dalam kalangan perniagaan PKS susulan konflik Timur Tengah yang masih berlarutan sehingga kini.


Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) itu membantu PKS, termasuk berskala mikro yang berdepan gangguan operasi, tekanan aliran tunai serta kesukaran memenuhi komitmen kewangan jangka pendek.


Ujar BNM lagi, fasiliti tersebut menawarkan pembiayaan modal kerja sehingga RM750,000 bagi tempoh maksimum lima tahun, dengan kadar pembiayaan tidak melebihi 3.75% setahun termasuk yuran jaminan.


“Langkah ini turut bertujuan membantu perniagaan usahawan PKS yang masih berdaya maju untuk terus beroperasi dengan baik dan dijangka dapat mengharungi ketidaktentuan ekonomi semasa,” katanya.


Pembiayaan ini turut disokong jaminan sehingga 80% oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), khususnya PKS yang kekurangan cagaran.


Permohonan bagi kemudahan SME SRF akan dibuka mulai 15 Mei hingga 31 Disember 2026, atau sehingga dana tersebut digunakan sepenuhnya, dan boleh dibuat melalui institusi kewangan peserta terbabit.


BNM turut menggesa PKS yang menjangkakan atau sudah mengalami tekanan kewangan supaya bertindak lebih awal dengan berhubung terus kepada pihak institusi kewangan masing-masing untuk bantuan.


“Tindakan proaktif membolehkan penyelesaian seperti penstrukturan semula pembiayaan, fleksibiliti bayaran balik atau sokongan lain dilaksanakan bagi membantu perniagaan berdaya tahan,” jelasnya.


Selain itu, PKS boleh menerima khidmat nasihat kewangan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), termasuk Program Pengurusan Kredit (PPK) dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK).

 

 

 

 

 


Langkah ini ujar BNM, turut mencerminkan komitmen berterusan bank pusat dalam memastikan sektor PKS kekal berdaya tahan, khususnya dalam menghadapi cabaran luaran yang semakin tidak menentu.


Usaha itu juga selari pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perbincangan meja bulat dengan ketua-ketua pegawai eksekutif institusi kewangan pada 21 April 2026. - DagangNews.com