KUALA LUMPUR 20 Dis - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan langkah-langkah interim yang dipersetujui dengan industri insurans dan takaful untuk membantu pemegang polisi yang mengalami perubahan pada premium produk insurans/takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) mereka.
Bank pusat itu berkata, langkah-langkah interim itu diperkenalkan bagi mengurangkan kesan kewangan terhadap pemegang polisi pada masa ini serta memastikan perlindungan MHIT yang berterusan.
Katanya, antara langkah yang diperkenalkan termasuk penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) akan melaksanakan perubahan premium yang diagihkan disebabkan inflasi tuntutan perubatan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun kepada semua pemegang polisi yang terkesan disebabkan oleh penetapan semula premium.
Langkah ini akan dilaksanakan sehingga akhir tahun 2026 dan menerusi langkah itu, sekurang-kurangnya 80% pemegang polisi dijangka menghadapi pelarasan premium tahunan yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan sebanyak kurang daripada 10%.
"Bagi pemegang polisi yang berumur 60 tahun ke atas dan dilindungi di bawah pelan minimum bagi produk MHIT yang dibeli, ITO akan menangguhkan pelarasan premium yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan untuk sementara waktu iaitu selama satu tahun dari ulang tahun polisi mereka.
"Langkah-langkah interim di atas tidak terpakai pada kenaikan premium yang boleh dikenakan apabila pemegang polisi beralih ke kategori umur yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
BNM berkata, semua ITO akan menyediakan produk MHIT alternatif yang bersesuaian pada premium yang sama atau lebih rendah bagi pemegang polisi yang tidak berminat untuk meneruskan pelan sedia ada dan yang premiumnya telah ditetapkan semula.
"ITO yang tidak menyediakan produk alternatif yang sesuai pada masa ini hendaklah menawarkan produk tersebut kepada pemegang polisi selewat-lewatnya pada hujung 2025," katanya.
Kerajaan bersama-sama ITO dan hospital swasta akan memberikan sumbangan sebanyak RM60 juta untuk mempercepat pembaharuan kesihatan, termasuk pelaksanaan model pembayaran Diagnosis-Related Group (DRG) dan penyiaran kos prosedur perubatan lazim bagi meningkatkan ketelusan.
Selain itu, sebahagian daripada dana ini juga akan digunakan untuk menyokong pembangunan produk asas MHIT yang meliputi keperluan penjagaan kesihatan penting dan memudahkan pemegang polisi yang berumur 60 tahun ke atas membuat pertukaran kepada produk asas baharu apabila ditawarkan.
Sementara itu, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, perkara yang perlu ditangani adalah punca utama kenaikan premium insurans dan takaful perubatan dan kesihatan yang didorong oleh kos perubatan dan penggunaan perkhidmatan perubatan yang lebih tinggi.
Beliau berkata, produk MHIT juga perlu ditambah baik untuk menjadikan produk tersebut lebih mampan dan selaras dengan penjagaan kesihatan berasaskan nilai yang mengutamakan hasil kesihatan yang lebih baik.
"Perkara ini merupakan cabaran rumit yang memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak berkepentingan dalam ekosistem penjagaan kesihatan.
"Langkah-langkah interim yang kami umumkan pada hari ini akan memberikan sokongan sementara kepada pemegang polisi. Namun, pembaharuan kesihatan yang lebih meluas perlu dipercepat berserta komitmen untuk mencapai hasil yang jelas bagi tahun-tahun akan datang," katanya.- DagangNews.com








