BNM perkenal garis panduan operasi transaksi mata wang bersama bank pusat Indonesia, Thailand | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM perkenal garis panduan operasi transaksi mata wang bersama bank pusat Indonesia, Thailand

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Feb — Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Indonesia (BI) dan Bank of Thailand (BOT) hari ini mengumumkan penerapan Garis Panduan Operasi Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan (LCTFOG) yang terselaras.

 

Usaha secara bersama tersebut bakal meningkatkan tahap konsistensi, skala dan kecekapan bagi menyokong segala transaksi rentas sempadan dengan penggunaan mata wang tempatan masing-masing antara ketiga-tiga negara serantau berkenaan.

 

Penyelarasan ini bagi menyepadukan garis panduan dua hala yang telah ditetapkan antara negara tersebut, serta membolehkan proses transaksi rentas sempadan lebih teratur dan telus bagi institusi kewangan yang mengambil bahagian serta pelanggan mereka.

 

Menurut kenyataan bersama diterbitkan tiga bank pusat ini, garis panduan yang terselaras itu juga menetapkan parameter operasi yang setaraf untuk semua negara peserta di samping mengambil kira keperluan dasar khusus bagi setiap negara terbabit.

 

Selain perdagangan dan pelaburan langsung, rangka kerja ini turut merangkumi pelaburan portfolio sebagai transaksi asas yang layak. Para pelabur kini mempunyai pilihan yang lebih luas untuk menjalankan transaksi dalam mata wang tempatan.

 

Di samping itu, ia bakal mengurangkan risiko pertukaran asing malah berikutan perkembangan ini, BNM, BI dan BOT mengalu-alukan tambahan bank-bank perdagangan yang layak untuk menyertai serta menyokong LCTF yang diperluaskan ini.

 

"Bank-bank komersial ini pula akan memainkan peranan penting dalam memudahkan transaksi mata wang tempatan menerusi segala kepakaran, kekukuhan operasi dan rangkaian rentas sempadan mereka," jelas kenyataan berkenaan.

 

Malaysia, Indonesia dan Thailand telah sekian lama menyaksikan peningkatan secara berterusan dalam transaksi mata wang tempatan untuk penyelesaian urus niaga perdagangan dua hala sejak pelaksanaan LCTF. 

 

Rangka kerja dan operasi yang diselaraskan ini akan memberikan pilihan yang lebih luas kepada sektor perniagaan untuk menjalankan transaksi rentas sempadan dengan lebih lancar.

 

Malah langkah ini juga mencerminkan komitmen ketiga-tiga negara dalam usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dan pelaburan serantau.  - DagangNews.com