BNM kekalkan OPR pada 2.75%, terus pantau konflik geopolitik Timur Tengah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM kekalkan OPR pada 2.75%, terus pantau konflik geopolitik Timur Tengah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Mei - Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, sejajar jangkaan pasaran.

 

Keputusan itu dibuat ketika bank pusat terus memantau rapat perkembangan konflik geopolitik di Timur Tengah yang berpotensi memberi kesan kepada prospek ekonomi global dan kestabilan pasaran kewangan.

 

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat berkata, kadar semasa masih sesuai bagi memastikan kestabilan harga berterusan serta menyokong pertumbuhan ekonomi mampan walaupun ketidaktentuan global semakin meningkat.

 

“BNM mengambil maklum ketidaktentuan akibat konflik berterusan di Timur Tengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Keputusan itu dibuat selepas semakan ketiga daripada enam mesyuarat dasar monetari yang dijadualkan bagi tahun ini.

 

BNM sebelum ini mengekalkan OPR pada setiap semakan sejak mengurangkan kadar sebanyak 25 mata asas pada Julai tahun lalu, disokong prestasi ekonomi domestik yang kekal berdaya tahan serta inflasi yang masih terkawal.

 

Menurut bank pusat, ekonomi Malaysia terus menunjukkan ketahanan dalam tiga bulan pertama tahun ini meskipun konflik di Timur Tengah semakin memuncak.

 

Inflasi pula kekal stabil susulan mekanisme subsidi bahan api dan kawalan harga barangan asas yang membantu mengurangkan tekanan kos kepada pengguna.

 

Bagaimanapun, BNM mengakui ketidaktentuan berkaitan tempoh dan tahap serius konflik geopolitik berkenaan boleh memberi kesan kepada prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi domestik pada masa hadapan.

 

“Namun begitu, asas ekonomi Malaysia yang kukuh akan terus menyokong daya tahan ekonomi negara,” katanya.

 

BNM turut memberi amaran bahawa inflasi mungkin meningkat sedikit berikutan kenaikan harga komoditi global yang memberi tekanan kepada kos domestik, khususnya ketika perang Iran kini memasuki bulan ketiga.

 

Walau bagaimanapun, bank pusat menjangkakan kesan terhadap inflasi keseluruhan dan inflasi teras pada 2026 masih terkawal hasil langkah dasar domestik serta keadaan permintaan yang stabil.

 

Pendirian dasar monetari semasa dilihat terus menyokong pertumbuhan ekonomi tanpa mewujudkan tekanan inflasi berlebihan, selain memberi ruang kepada BNM menilai perkembangan luaran termasuk harga tenaga global dan sentimen pasaran kewangan antarabangsa. - DagangNews.com