BNM ambil 284 tindakan penguatkuasaan, denda RM15.9 juta ke atas institusi kewangan pada 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM ambil 284 tindakan penguatkuasaan, denda RM15.9 juta ke atas institusi kewangan pada 2025

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 31 MacBank Negara Malaysia (BNM) mengambil 284 tindakan penguatkuasaan dan penyeliaan terhadap institusi kewangan, serta penalti yang berjumlah RM15.9 juta sepanjang 2025.


Menerusi Laporan Tahunan 2025 yang diterbitkan bank pusat itu hari ini, langkah berkenaan katanya, selari dengan pendirian tegas sifar toleransi terhadap jenayah kewangan dan ketidakpatuhan yang serius.


Bagaimanapun BNM memaklumkan denda keseluruhan yang dikenakan pada tahun lalu adalah lebih rendah berbanding sebanyak RM18.9 juta dicatatkan sepanjang 2024 dengan melibatkan sejumlah 326 tindakan.


"Daripada jumlah tindakan pada 2025, sebanyak 150 kes membabitkan institusi yang dikawal selia oleh BNM, manakala 134 lagi melibatkan entiti tidak dikawal selia termasuk individu," jelas laporan itu.


Bagi institusi terkawal kata bank pusat tersebut, majoriti tindakan diambil terhadap bank perdagangan yang melibatkan 52 kes, diikuti syarikat insurans (32) dan perniagaan perkhidmatan wang (20).


Menurut BNM, kesalahan utama melibatkan pematuhan anti-pengubahan wang haram, pengurusan risiko teknologi, piawaian 'prudential' atau berhemat, serta dasar pertukaran mata wang asing (forex).


Di samping itu tambahnya, salah satu fokus utama penguatkuasaan sepanjang tahun lalu adalah gangguan sistem tidak dirancang yang dikenal pasti berkeupayaan menjejaskan perkhidmatan perbankan penting.
 

Bank Negara Malaysia


"Sehubungan itu, tindakan diambil terhadap sebanyak sembilan bank yang didapati gagal dalam memenuhi jangkaan kawal selia, dengan jumlah penalti mencecah kira-kira RM5.6 juta," kata laporan berkenaan.


BNM turut melaksanakan pendekatan 'ganggu dan hapuskan' serta agresif membanteras jenayah kewangan seperti pengambilan deposit haram, perniagaan perkhidmatan tanpa lesen dan aktiviti pengubahan.


Langkah tersebut ujar bank pusat itu, bertujuan memastikan integriti sistem kewangan terpelihara, melindungi kepentingan awam serta menghalang isu penyalahgunaan oleh pihak tidak bertanggungjawab.


Tindakan penyeliaan seperti surat amaran, teguran dan komitmen penguatkuasaan digunakan sebagai langkah pencegahan dan pembetulan bagi memperbaiki jurang pematuhan serta memperkukuh tadbir urus.


"Sementara itu, tindakan penguatkuasaan termasuk penalti monetari dan kompaun dikenakan bagi pelanggaran serius untuk meningkatkan akauntabiliti serta memberi kesan pencegahan," katanya.


Pendekatan ini jelasnya, dilaksanakan secara konsisten, telus dan berkadar, sejajar dengan komitmen BNM dalam mengekalkan kepercayaan dan integriti sistem kewangan negara. - DagangNews.com