KUALA LUMPUR 22 Okt - Syarikat pembekal jubin dan peralatan dapur, BMS Holdings Berhad menandatangani perjanjian taja jamin bersama Alliance Islamic Bank Berhad bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
IPO itu terdiri daripada terbitan awam sebanyak 364 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk penjualan 156 juta saham sedia ada, secara kolektif mewakili kira-kira 33.77% daripada jumlah saham terbitan kumpulan yang diperbesarkan.
Sejumlah 77 juta saham terbitan atau 5% daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan akan disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia manakala 61.6 juta saham atau 4% diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Daripada jumlah keseluruhan, 188.9 juta saham terbitan atau 12.27% akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 36.5 juta saham atau 2.37% daripada jumlah yang diperbesarkan akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).
Sebanyak 156 juta saham tawaran atau 10.13% daripada jumlah yang diperbesarkan saham terbitan akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI.
Sebagai sebahagian daripada pengaturan taja jamin, 138.6 juta saham terbitan daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 1.54 bilion akan ditaja jamin oleh Alliance Islamic Bank, memastikan bahagian IPO ini akan diambil sepenuhnya dan memberikan keyakinan tambahan dalam kejayaan tawaran awam.
Pengarah Urusan BMS, Ang Kwee Peng berkata, dengan sokongan Alliance Islamic Bank, pihaknya yakin dapat melaksanakan IPO yang berjaya yang akan membolehkan mereka meningkatkan operasi dan kemudahan kumpulan.
Pada masa sama katanya, kumpulan dapat mengukuhkan rangkaian runcit di seluruh negara, dan seterusnya mempelbagaikan penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.
"Hasil daripada IPO akan disalurkan ke arah mengembangkan bilangan bilik pameran runcit kami, mewujudkan pusat pengedaran serantau baharu, menaik taraf kemudahan operasi sedia ada dan teknologi ICT/digital, serta aktiviti pemasaran dan keperluan modal kerja.
"Pelaburan ini penting untuk mengukuhkan kedudukan kepimpinan kami dan memacu pertumbuhan jangka panjang yang mampan," katanya.
Alliance Islamic Bank merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk IPO kumpulan itu.- DagangNews.com








