KUALA LUMPUR 2 Okt – BMS Holdings Berhad memperoleh kelulusan rasmi daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk disenaraikan di Pasaran ACE yang disasarkan pada suku keempat 2025.
Kumpulan peruncit dan pengedar terkemuka produk jubin, batu semula jadi, peralatan mandi dan dapur itu berkata, ia menandakan satu lagi langkah strategik penting dalam fasa pertumbuhan korporatnya.
Tambahnya, penyenaraian tersebut akan menyaksikan sasaran penerbitan tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 364 juta saham baharu dan penawaran 156 juta saham syarikat yang sudah sedia ada.
"Jumlah ini mewakili 33.77% daripada modal saham diperbesarkan berjumlah 1.54 bilion saham dan dana hasil IPO ini akan digunakan kemudian bagi pelbagai tujuan," kata BMS Holdings dalam kenyataan.
Syarikat yang ditubuhkan pada 1993 dan kini memiliki rangkaian 20 bilik pameran di seluruh negara itu menjangka IPO tersebut menyokong pelan peluasan rantaian runcit serta keupayaan operasi.
Tambahnya, ia selama ini sudah lama berjaya dalam menawarkan pelbagai produk bermutu di bawah jenama popular seperti BMS Porcelain, Marmo Grande, Rubino, Batu Gergasi, dan eurano.
Menurut Pengarah Urusannya, Ang Kwee Peng, bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2024, BMS Holdings berupaya mencatatkan pendapatan yang kukuh mencecah sebanyak RM293.92 juta.
"Kami menyifatkan kelulusan penyenaraian ini sebagai pencapaian penting yang akan membolehkan syarikat ini dapat terus melaksanakan strategi pertumbuhan dengan lebih berkesan," jelasnya.
Justeru, beliau menambah, kumpulan berkenaan cukup teruja apabila dapat membuka peluang kepada ramai pelabur untuk menyertai perjalanan pertumbuhan panjang syarikat melalui IPO itu
Berdasarkan laporan pasaran oleh firma Vital Factor Consulting, BMS Holdings pada ketika ini menguasai sebanyak 17% pasaran jubin seramik dan 12% pasaran barangan sanitari seramik di Malaysia.
Perkembangan positif itu menjadikannya antara pemain utama industri. Alliance Islamic Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan IPO ini. - DagangNews.com








