BM Greentech perlu selaras strategi baharu, fokus pertumbuhan mampan – Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BM Greentech perlu selaras strategi baharu, fokus pertumbuhan mampan – Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 SeptBM Greentech Berhad perlu menyusun semula strategi pertumbuhan syarikat dengan menembusi sektor pusat data (DC) yang berimpak tinggi melalui rumusan air lestari.


Menurut Phillip Capital, kumpulan penyedia teknologi hijau tersebut wajar mengukuhkan tawaran tenaga boleh diperbaharui (RE) untuk pelanggan komersial dan industri (C&I) yang berkembang pesat.


Firma penyelidikan itu masih mengekalkan saranan 'beli', namun menurunkan harga sasaran sesaham berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP) kepada RM2.58, daripada RM2.70 sebelumnya.


"Ini berikutan semakan semula unjuran hasil tahun kewangan 2026 hingga 2028 sebanyak 4 hingga 6%, bagi mengambil kira kelemahan sementara segmen solar kediaman," kata firma itu dalam notanya.


BM Greentech kini kata Phillip Capital, melangkah masuk ke dalam sektor DC melalui projek rawatan air sungai pertama di Malaysia yang dibangunkan untuk DayOne DC di Kempas Tech Park, Johor.


Projek ini tambahnya, bukan sahaja membuktikan keupayaan teknikal, malah menunjukkan kesediaan syarikat berkenaan dalam menyokong usaha DC global beralih kepada amalan yang lebih mampan.


Kata firma itu, DC berskala besar memerlukan penggunaan air yang tinggi untuk sistem penyejukan, dengan kemudahan bersaiz 100MW menggunakan antara 4 sehingga 6 juta liter air sehari (MLD).


“Johor dijangka menjadi hab DC dengan kapasiti terancang 5GW, dan langkah awal BM Greentech itu memberi kelebihan daya saing, apatah lagi giat berunding dengan beberapa pengendali," katanya.


Meskipun sumbangan segmen rawatan air kepada hasil FY25 dijangka kecil sekitar 11%, setiap projek diunjur bernilai hingga RM20 juta, dan mampu muncul sebagai pemacu pertumbuhan jangka sederhana.


Phillip Capital turut melaporkan bahawa permintaan dalam segmen solar kediaman terkesan susulan tamatnya skim Net Energy Metering (NEM), menyebabkan tempoh pulangan pelaburan meningkat 7 tahun.


BM Greentech namun masih ada kekuatan melalui asas kukuh pelanggan C&I, membolehkan ia beralih kepada rumusan solar berserta sistem storan tenaga bateri (BESS), pakej terdapat penjimatan kos.


“Kumpulan tersebut kini dinilai berada kedudukan untuk mengekalkan momentum dalam pasaran C&I, meskipun berlaku kelembapan menerusi segmen pengguna,” kata firma penyelidikan berkenaan.


Syarikat berkenaan juga kata Phillip Capital, juga dijangka meraih manfaat daripada program LSS5+ yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, dengan nilai kontrak sektor dijangka mencecah RM6 bilion.


Justeru, firma tersebut menegaskan bahawa penurunan harga saham BM Greentech sebanyak 18% dalam sebulan lalu telah mengambil kira pelbagai risiko jangka pendek dalam segmen solar kediaman.


Sektor DC dan fokus kepada rumusan tenaga bersepadu menjadikan syarikat berkenaan sebagai pilihan penilaian pembelian menarik dalam segmen alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) tempatan.


“Asas perniagaan BMG kekal kukuh, disokong oleh francais pelanggan C&I yang luas dan penawaran rumusan ESG yang berkembang,” kata firma itu. - DagangNews.com