Bioalpha sasar eksport Misai Kucing kepada 20 metrik tan dalam tempoh dua tahun, disokong pasaran Korea Selatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bioalpha sasar eksport Misai Kucing kepada 20 metrik tan dalam tempoh dua tahun, disokong pasaran Korea Selatan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Mei – Bioalpha Holdings Berhad menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti eksport Misai Kucing kepada 20 metrik tan dalam tempoh dua tahun akan datang, berbanding sekitar 10 metrik tan ketika ini, selaras dengan peningkatan permintaan global terhadap produk berasaskan herba tersebut.

 

Syarikat itu berkata peningkatan sasaran eksport tersebut didorong oleh pertumbuhan permintaan di pasaran antarabangsa khususnya Korea Selatan yang kini muncul sebagai antara penyumbang utama kepada perkembangan segmen herba Bioalpha.

 

Bioalpha berkata keseluruhan rantaian bekalan herba syarikat termasuk Misai Kucing, Tongkat Ali dan Durian Belanda dikawal secara bersepadu daripada peringkat penanaman, penuaian sehingga penghasilan produk akhir bagi memastikan kualiti yang konsisten serta kebolehkesanan bahan mentah.

 

Dalam masa yang sama, syarikat yang terlibat dalam perniagaan OEM, ODM dan CDMO itu menegaskan model operasi bersepadunya membolehkan mereka menyediakan rumusan pembuatan produk kesihatan kepada pelanggan global dengan lebih efisien dan berskala.

 

t
Joe Ang

 

 

Pengarah Eksekutif Bioalpha, Joe Ang berkata semua fasiliti pengeluarannya memiliki pensijilan halal yang memberi kelebihan dalam menembusi pelbagai pasaran antarabangsa termasuk pasaran pengguna Muslim di seluruh dunia.

 

“Syarikat mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam industri dengan lebih 500 formulasi produk eksklusif telah dibangunkan bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen pasaran.

 

“Bioalpha bukan sekadar pengeluar, sebaliknya turut menyediakan sokongan menyeluruh termasuk analisis pasaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kepakaran teknikal bagi membantu pelanggan memperkukuh strategi kemasukan ke pasaran.

 

“Operasi penanaman Misai Kucing bermula pada 2012 sebelum berkembang ke aktiviti eksport pada 2018, menunjukkan perkembangan berperingkat dalam pembangunan rantaian nilai herba syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketika ini, Bioalpha menguruskan kawasan penanaman seluas kira-kira 100 ekar di Pasir Raja dan Desaru dengan keseluruhan operasi mematuhi standard Amalan Pertanian Baik Malaysia (MYGAP) bagi memastikan kualiti bahan mentah terjamin.

 

Pasaran Korea Selatan pula dilihat sebagai pemacu pertumbuhan utama apabila Bioalpha telah menjalin kerjasama strategik dengan sebuah syarikat tempatan melalui perjanjian kerahsiaan (NDA) bagi membekalkan bahan mentah dan produk ke pasaran tersebut. - DagangNews.com