Binastra sasar penambahan projek baharu sekitar RM5 bilion pada FY26, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Binastra sasar penambahan projek baharu sekitar RM5 bilion pada FY26, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Dis - Binastra Corporation Bhd menyasarkan penambahan projek baharu bernilai sekitar RM5 bilion pada FY26 didorong peningkatan permintaan untuk hartanah perumahan di Lembah Klang dan Johor Bahru, kata TA Securities.

 

Katanya, strategi pengembangan buku pesanan agresif kumpulan itu didorong pelancaran projek pelanggan utamanya di wilayah selatan, menyumbang sekitar RM2 bilion setahun dalam kos pembangunan kasar bagi tempoh dua tahun akan datang.

 

"Tambahan pula, potensi kemenangan pekerjaan baharu di Lembah Klang dijangka secara kolektif berjumlah RM3 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan bersih bagi suku ketiga berakhir 31 Oktober 2024 (3QFY25) meningkat lebih dua kali ganda kepada RM24 juta berbanding RM11.2 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hasil Binastra pada 3QFY25 melonjak 120% kepada RM265.9 juta dipacu segmen pembinaan

 

Bagi sembilan bulan pertama tahun kewangannya yang berakhir 31 Januari 2025 (FY25), firma pembinaan itu mencatatkan pendapatan lebih kukuh dengan keuntungan bersihnya meningkat dua kali ganda kepada RM65 juta dan pendapatan berjumlah RM676 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, buat masa sekarang jumlah buku pesanan kumpulan yang belum dibilkan berjumlah RM3.7 bilion, bersamaan dengan 8.7x hasil FY24, memastikan keterlihatan pendapatan sehingga FY29.

 

Katanya, dari segi amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Binastra terus mengukuhkan kehadirannya.

 

"Berikutan kejayaan memperoleh dua projek loji rawatan kumbahan baharu pada FY25, kumpulan itu terus terlibat secara aktif dalam tender untuk lebih banyak kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dalam segmen STP dan ladang solar.

 

"Inisiatif ini mencerminkan komitmen kumpulan bagi mengurangkan jejak karbon selain memupuk pembangunan mampan melalui penglibatannya dalam projek pembinaan hijau," katanya.- DagangNews.com