KUALA LUMPUR 11 Jun — Binastra Corporation Berhad menerusi anak syarikatnya, Binastra Builders Sdn Bhd memperoleh kontrak RM268 juta untuk pembinaan sebuah blok pangsapuri suite 45 tingkat di Kuala Lumpur.
Kumpulan tersebut berkata, kontrak itu dianugerahkan oleh TNJ Development Sdn Bhd, iaitu anak syarikat CPI Land Sdn Bhd dengan tapak projek baharu berkenaan terletak di Lot 3687, Jalan Segambut, Mukim Batu.
Skop kontrak kerja-kerja bangunan utama untuk pembangunan 45 tingkat itu mengandungi 1,269 unit rumah setinggi 37 tingkat, lapan tingkat tempat letak kereta podium serta tiga tingkat kemudahan dan rekreasi.
"Projek ini turut melibatkan pembinaan sebuah unit balai pengawal, serta akan dimulakan pada 15 April 2025 dengan perlu disiapkan dalam tempoh 28 bulan," menurut Binastra dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Kontrak baharu tersebut tambah kumpulan pembinaan tersebut, dijangka mampu menyediakan aliran pendapatan tambahan kepada kumpulan berkenaan dalam tempoh tiga tahun kewangan akan datang.
Pengarah Urusannya, Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata, kontrak itu mewakili kemajuan selanjutnya dalam mengukuhkan jejak syarikat tersebut di Lembah Klang, kerana ia terus mengembangkan lagi portfolionya.
"Kami berbesar hati memperoleh kontrak ini daripada pelanggan baharu melangkaui pelanggan utama kami yang sedia ada dan menarik untuk bekerjasama dengan pembangunan lebih ke hadapan," kata beliau.
Kemenangan kontrak terkini diperoleh Binastra bagi tahun ini sehingga kini telah mencecah sebanyak RM976.9 juta, meningkatkan jumlah buku tempahan tertunggaknya kepada RM4.3 bilion. - DagangNews.com








