KUALA LUMPUR 24 Sept – Binastra Corporation Berhad sedang giat mengembangkan kehadirannya dalam sektor yang berimpak tinggi terutama projek tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pusat data (DC).
Menurut Phillip Capital, kumpulan itu pada masa sama masih mengekalkan momentum kukuh dalam sektor pembinaan hartanah yang merekodkan pendapatan lebih kukuh pada suku ketiga tahun kewangan 2026.
Tambah firma penyelidikan tersebut, langkah strategik itu dijangka mampu menyumbang kepada sasaran keseluruhan tempahan kontrak antara RM4 bilion sehingga RM4.5 bilion bagi tahun kewangan 2026.
"Kami mendapati Binastra kini aktif membida projek DC yang berskala kecil dengan janaan tenaga 50MW dan bernilai antara RM200 juta hingga RM500 juta," kata firma berkenaan dalam notanya hari ini.
Usaha itu jelas Phillip Capital, selari dengan tiga projek sedia ada yang sedang dilaksanakan dan syarikat tersebut juga sedang meneroka pelbagai peluang kerjasama teknikal untuk menyertai projek RE.
Antaranya tambah firma berkenaan, ialah tenaga solar, sistem penyimpanan tenaga berasaskan bateri (BESS) serta projek solar berskala besar (LSS) fasa kelima di bawah pelbagai inisiatif RE negara.
Berdasarkan kepada perkembangan tersebut, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Binastra dengan harga sasaran tidak berubah RM2.60, berdasarkan 16 kali unjuran perolehan sesaham FY27.
Kata Phillip Capital, kumpulan itu masih terus mengukuhkan kedudukan sektor pembinaan hartanah melalui kerjasama dengan pelanggan utama seperti Exsim Development Sdn Bhd dan Maxim Global Berhad.
"Lawatan kami ke tapak di Johor baru-baru ini mengesahkan potensi projek bernilai RM3.3 bilion, dengan RM600 juta dimeterai dan baki dijangka secara berperingkat sepanjang FY26 hingga FY27," katanya.
Ia menambah, antara projek Exsim mencatat prestasi jualan tinggi termasuk The Asteriaz dengan 89% kadar ambilan sejak pelancaran pada 2024 dan Causewayz Square yang meliputi tiga blok pertama.
Binastra juga kata Phillip Capital, dijangka menerima manfaat projek Maxim yang bakal dilancarkan tidak lama lagi berpotensi menjana pakej pembinaan utama bernilai RM800 juta menjelang akhir 2025.
Usaha ini, bersama strategi menyasarkan sektor DC dan RE, meletakkan syarikat tersebut dalam posisi ideal untuk mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengukuhkan daya saing jangka panjang.
“Peluang dalam dua sektor ini meluaskan potensi pertumbuhan Binastra, selain mengukuh peranannya sebagai kontraktor utama kepada pelanggan strategik seperti Exsim dan Maxim,” jelas firma itu.
Sehingga kini, RM1.6 bilion kontrak berjaya diraih tahun ini, satu permulaan kukuh ke arah sasaran FY26, namun ia juga berdepan beberapa risiko termasuk kos yang wajar diawasi. - DagangNews.com








