KUALA LUMPUR 12 Dis - Binastra Corporation Berhad diyakini mengekalkan momentum positif apabila hasil projek suku ketiga kewangan FY26 dijangka berada dalam julat antara RM35 juta hingga RM40 juta.
TA Securities menambah, angka tersebut bersamaan kira-kira 66% hingga 70% daripada unjuran tahunan firma berkenaan, dan prestasi ini turut selari dengan corak sejarah syarikat pembinaan itu sendiri.
Katanya, kumpulan tersebut mencatat kemuncak bil projek pada tempoh suku keempat mengikut trend menaik bagi setiap pelaksanaan kontrak kerja pembinaan yang diperoleh daripada pelbagai pihak.
"Setakat kini, Binastra berjaya merekodkan tempahan baharu bernilai kira-kira RM2.0 bilion, menjadikan baki pesanan yang terkumpul sudah mencecah sekitar RM5.1 bilion," jelasnya dalam nota kajian hari ini.
Jumlah berkenaan kata TA Securities, bersamaan 3.3 kali jangkaan hasil FY26, manakala peluang projek berterusan termasuk menerusi pembinaan kediaman tinggi di Johor bernilai RM2.0 bilion.
Selain itu, syarikat tersebut mempunyai sejumlah projek solar berskala besar (LSS) fasa kelima bernilai RM200 hingga RM300 juta yang menyokong sasaran tempahan baharu kumpulan untuk FY26.
Walaupun margin keuntungan selepas cukai (PAT) Binastra dijangka susut kepada 7% berbanding 9% pada 3QFY25, ia selaras dengan peningkatan pelaksanaan projek pusat data bernilai RM1.43 bilion.
"Lonjakan pendedahan kepada kontrak kejuruteraan seperti loji rawatan kumbahan serta pakej solar dan bateri menyumbang kepada margin lebih nipis, namun untung kekal stabil," kata TA Securities.
Perkembangan positif tersebut jelas firma penyelidikan itu, berikutan portfolio tempahan yang pelbagai terus diperoleh oleh Binastra dan dikenal pasti sebagai cukup kukuh sejak akhir-akhir ini.
Dengan keuntungan yang jelas dan pertumbuhan purata tahunan tiga tahun 38.9%, firma itu menjangka dividen sesaham lebih tinggi, masing-masing iaitu 6 sen, 9 sen dan 9 sen dari FY26 hingga FY28.
Sehubungan itu, TA Securities masih lagi mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM2.85 sesaham yang berdasarkan unjuran nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 17 kali.
"Binastra digemari kerana hubungan kukuh dengan pelanggan utama, kedudukan strategik sebagai penerima manfaat kitaran sektor dan keuntungan yang mantap," jelas firma itu. - DagangNews.com








